LONDON, 28 FEB – Polis UK, kelmarin mendakwa warga Bulgaria keenam sebagai sebahagian daripada siasatan ke atas kesalahan pengintipan yang dikaitkan dengan negara Rusia.
Tihomir Ivanov Ivanchev, 37, dari barat London, telah ditangkap pada 7 Februari sebagai sebahagian daripada siasatan yang diketuai oleh Komando Cegah Keganasan Polis Metropolitan. Dia direman untuk hadir di Mahkamah Majistret Westminster London, hari ini.
Ivanchev didakwa ‘bersubahat untuk mengumpul maklumat bertujuan untuk digunakan secara langsung atau tidak langsung oleh musuh dengan tujuan memudaratkan atau mengancam keselamatan dan kepentingan negara.’
Sebagai sebahagian daripada siasatan yang sama, lima orang telah pun didakwa, dan akan menghadapi perbicaraan selama empat bulan bermula Oktober.
Mereka didakwa telah berkomplot bersama dan dengan Jan Marsalek, dan orang lain yang tidak diketahui, untuk mendapatkan, mengumpul, merekod, menerbitkan atau menyampaikan dokumen atau maklumat untuk Moscow. – AFP