Friday, December 27, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Polis veteran kongsi pengalaman berdepan pengganas

    KUALA LUMPUR – Pengalaman diserang oleh pengganas komunis pada hari pertama bertugas, beberapa kali bersabung nyawa, dan pernah terkena tembakan di bahagian paha adalah antara detik cemas yang pernah dilalui oleh veteran polis, S.K.Puvaneswaran.

    Kini pada usia 90 tahun, bekas anggota polis itu menghadapi kesukaran untuk mendengar mahu pun bergerak, tetapi ingatannya masih tajam setelah bertugas selama 33 tahun sebelum bersara sebagai Supt Polis pada tahun 1983.

    Warga emas itu dengan bangga sudi berkongsi rasa sayangnya kepada pasukan yang disertainya sekian lama itu, serta pengorbanannya bermandikan keringat dan darah untuk negara ini, termasuk semasa berhadapan dengan anasir jahat – dari pengganas komunis sehingga samseng; serta melakukan rondaan di kawasan perairan negara ketika ditempatkan di cawangan Marin.

    Dilahirkan pada 21 Julai 1931 di Hospital Besar Kuala Lumpur, Puvaneswaran berkata minatnya kepada pasukan polis bermula dari usia muda, menyertai pasukan itu pada Jun 1950 semasa baru berumur 19 tahun, dan menjadi kumpulan pertama inspektor dari Asia dalam negara ketika itu.

    Pada hari pertama pelantikannya 10 Dis 1950 semasa bertugas sebagai penolong pegawai yang bertanggungjawab di sebuah pekan kecil di Renggam, Johor, kereta api yang dinaikinya diserang oleh pengganas komunis.

    Polis veteran, S.K. Puvaneswaran semasa sesi wawancara bersama Bernama baru-baru ini. – Bernama

    Renggam, sekarang sebuah bandar yang tenang di Kluang dengan ramai penduduk telah berpindah ke kawasan bandar yang lebih besar, satu ketika dulu merupakan kawasan yang dijajah Inggeris, menempatkan ladang besar yang masih ada hingga sekarang, malah Ratu Elizabeth II pernah mengunjungi bandar ini pada tahun 1950-an.

    Puvaneswaran berkata ia bukan satu-satunya serangan komunis yang pernah dihadapi, malah beliau pernah menghadapi ancaman dari komunis semasa Balai Polis Renggam telah diserang, dan pernah juga terlibat dalam beberapa pertempuran berdarah lainnya.

    “Pernah saya menyamar sebagai penoreh getah antara Renggam-Kluang untuk mengumpulkan maklumat mengenai pengganas komunis, dan saya juga pernah menahan seorang lelaki bersenjatakan pistol Armalite dan merampas pelurunya semasa di bertugas balai polis Layang-Layang,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

    Selepas bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Johor Bahru, Puvaneswaran kemudiannya diberi tanggungjawab sebagai ketua platun bagi memburu pengganas komunis di hutan Kota Tinggi dan Mersing di Johor, serta Tanah Merah, Gua Musang, dan kawasan sempadan negara di Kelantan, sebelum menyertai pasukan peronda Polis Marin.

    “Saya pernah menahan penceroboh, dan lanun, di samping memberi perlindungan kepada nelayan. Ketika itu konfrontasi dengan Indonesia saya terpaksa bekerja siang dan malam, dan pernah menangkap seorang pengganas konfrontasi bersenjata di Pontian,” tambahnya.

    Setelah terlibat dengan urusan menentang komunis dan lanun selama kira-kira 17 tahun, beliau kemudian ditugaskan untuk membanteras samseng pula apabila menyertai tugas-tugas membanteras jenayah dalam Jabatan Siasatan Jenayah di Ipoh, Perak, dan semasa di sini beliau berjaya menahan 50 orang samseng.

    Suatu hari ketika bertempur dengan samseng, beliau ditembak dengan peluru itu menembusi paha kanan, dan walaupun dalam kesakitan, beliau masih berjaya menembak tangan penyerang, yang dapat membantu pegawai lain untuk menangkap penjenayah berkenaan.

    Beliau kemudian bertugas sebagai Ketua Polis Daerah Dungun dan diikuti dengan tugas di bahagian Marin Bukit Aman, Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur serta Ketua Polis Marin Sabah, dan bertugas sebagai pendakwa di Mahkamah Jalan Duta sebelum bersara. 

    Semasa tempoh perkhidmatannya, beliau yang dikenali nama panggilan Puvan berkata beliau aktif dalam pasukan polo di Johor, Selangor dan Perak, yang membolehkan beliau berkenalan dengan beberapa kerabat diraja.

    Beliau malah pernah menceritakan pengalamannya itu dalam dua buku – Memoirs of Early Life & 33 Years in Police Force yang diterbitkan pada 2004; dan Recollections & Reminiscences of Past Police Service pada tahun 2018.

    Katanya beliau pernah menerima Kesatria Mangku Negara (KMN) dan Ahli Mangku Negara (AMN). – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda