Saturday, March 15, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Polis wanita dilantik Ketua Peronda

    NEW YORK, 30 OKT – Seorang anggota polis wanita kulit hitam dinaikkan pangkat ke jawatan kanan di New York City, semalam.

    Datuk Bandar, Bill de Blasio, melantik Juanita Holmes sebagai Ketua Peronda.

    Ia sekali gus menjadikan Holmes wanita pertama memikul peranan memantau 77 balai polis serta majoriti pegawai Jabatan Polis New York (NYPD) yang mempunyai hampir 35,000 kakitangan.

    Datuk Bandar daripada parti Demokrat itu berkata, adalah penting untuk kepimpinan polis dilihat mewakili New York City dan perkara itu ditonjolkan menerusi pelantikan berkenaan.

    “Saya juga ingin menyatakan bahawa sudah tiba masanya untuk mempunyai lebih ramai wanita menyandang jawatan kepimpinan dalam NYPD, dan sudah pasti juga dalam pasukan polis di seluruh negara,” katanya pada satu sidang media.

    Selepas 30 tahun berkhidmat dalam pasukan polis, selain menceburi sektor swasta untuk tempoh singkat, Holmes adalah anggota wanita paling kanan dalam NYPD yang bertanggungjawab berurusan dengan orang awam sejak Disember tahun lalu.

    Wanita itu mengaku pelantikannya dibuat ketika NYPD berdepan ‘waktu sukar’.

    Holmes berikrar untuk mengembalikan keyakinan penduduk New York kepada pasukan polis, termasuk memperkukuhkan usaha kepolisan komuniti yang bakal menaikkan moral pihak berkuasa itu. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda