Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Polis wanita diseru tingkatkan imej di mata masyarakat

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OGOS – Polis wanita yang sedang berkhidmat diseru untuk terus menjalankan tugas dengan gigih, amanah dan memiliki semangat berpasukan tinggi bagi meningkatkan lagi imej polis di mata masyarakat.

    “Disiplin menjadi teras dan tiang kejayaan dalam berpasukan dan harus dilaksanakan dengan penuh dedikasi dan komitmen yang tinggi,” sabda Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Komandan Polis Wanita, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), semasa Upacara Perbarisan dan Majlis Santap Pagi sempena Sambutan Jubli Emas Penubuhan Polis Wanita, PPDB, di Dewan Bankuet Mes, PPDB, kelmarin.

    Terdahulu, YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna bersabda PPDB telah melakar satu sejarah penting pada 4 Ogos 1974 dengan pengambilan pertama skuad polis wanita seramai 30 orang.

    Penubuhannya telah memberi peluang kepada mereka untuk bergan-ding bahu bersama polis lelaki dalam menjaga keselamatan dan keamanan di Negara Brunei Darussalam.

    Pada 4 Ogos 2024, genaplah usia 50 tahun penubuhan polis wanita di mana sepanjang lima dekad berkenaan, jumlah keanggotaannya telah meningkat kepada 774 orang terdiri daripada 52 orang pegawai dan 722 anggota pangkat rendah.

    YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna berkenan mengurniakan sabda di Dewan Bankuet Mes, PPDB. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Sehubungan dengan itu, Yang Teramat Mulia menzahirkan perasaan bangga dan bersyukur ke hadrat Allah SWT dengan perkembangan penglibatan polis wanita yang bermula daripada menyediakan khidmat bantu sehingga fungsi mereka meluas kepada pelbagai bidang lain termasuk yang berkaitan dengan kaum wanita dan kanak-kanak.

    “Pencapaian tersebut membuktikan kemampuan dan profesionalisme polis wanita dalam menggalas kepercayaan yang diamanahkan dan melayakkan mereka untuk memegang jawatan-jawatan penting dalam pasukan,” sabda Yang Teramat Mulia lagi.

    Yang Teramat Mulia turut menekankan bahawa polis wanita secara amnya mampu membuktikan keupayaan mereka dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab untuk mencapai visi dan misi pasukan demi keselamatan negara.

    “Walau bagaimanapun, di sebalik kejayaan yang telah dicapai, kemahiran dan menaik taraf pengetahuan perlu dipertingkatkan lagi melalui pembangunan kapasiti seperti mengikuti pelbagai kursus dan latihan yang berkaitan dengan kepolisian, demi menangani bermacam-macam jenayah yang pada masa ini yang semakin kompleks dan canggih,” tambahnya.

    Di bawah kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, kerajaan tetap komited menuju Wawasan Brunei 2035 iaitu ke arah mencapai rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya serta negara yang mempunyai ekonomi yang dinamik dan mampan.

    Yang Teramat Mulia juga menyatakan kaum wanita juga diberikan peluang yang sama dalam pembangunan negara. Sehingga kini, penglibatan polis wanita dalam tugas-tugas kepolisan terus berkembang secara progresif selaras dengan aspirasi negara.

    “Saya juga mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada semua polis wanita atas segala khidmat dan pengorbanan yang dicurahkan demi melaksanakan tugasan yang telah diamanahkan.

    “Sumbangan polis wanita sepanjang 50 tahun ini telah meningkatkan kedudukan wanita secara keseluruhannya dalam masyarakat,” tekan Yang Teramat Mulia.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda