JAIPUR, India – Unit polis wanita di barat laut India kini menggoncangkan unit polis lelaki di sana, berada di jalanan untuk memerangi jenayah seks dan rogol yang berleluasa.
Sekumpulan skuad di Jaipur telah membuat rondaan di kawasan perhentian bas, kolej-kolej dan taman-taman di mana kaum wanita sangat terdedah kepada gangguan seksual.
Wanita boleh berhadapan dengan pelbagai serangan di jalan-jalan India, seperti menerima perbuatan atau percakapan yang tidak elok, orang yang tidak dikenali mengekori mereka sehinggalah serangan fizikal dan rogol.
“Mesej yang cuba ingin kami sampaikan adalah bahawa kami tidak akan memberi toleransi terhadap jenayah-jenayah yang dilakukan terhadap kaum wanita,” kata Kamal Shekhawat, yang mengetuai unit khas Jaipur pada akhir bulan Mei.
India mempunyai rekod yang mengerikan mengenai jenayah seks, dengan hampir 40,000 kes rogol dilaporkan setiap tahun. Tetapi angka sebenar boleh mencapai ke tahap yang lebih tinggi, dengan para mangsa merasa bimbang dan mengeluh bagaimana masalah ini akan dapat ditangani.
Pasukan polis India (yang didominasi oleh kaum lelaki) – kaum wanita hanya terdiri daripada tujuh peratus daripada jumlah pegawai-pegawainya – dan para aktivis mengadu bahawa para korban sering dinilai dari segi penampilan mereka, meneliti soalan-soalan yang dikemukan, atau juga dipersalahkan kerana telah membangkitkan jenayah.
Kesalahan yang berlaku terhadap perkosaan dalam masyarakat India yang sangat patriarkal dan ketakutan terhadap tindakan balas, bermakna lebih banyak jenayah seks tidak dilaporkan dan para pelaku tidak dihukum.
Shekhawat berharap dengan kehadiran pegawai wanita ini akan dapat menggalakkan lagi lebih ramai wanita di Jaipur untuk melaporkan segala aduan atau gangguan yang dihadapi oleh mereka.
“Polis wanita lebih empati dan para mangsa juga merasa lebih yakin untuk berkomunikasi secara terbuka di hadapan mereka,”katanya.
Di sebuah taman di Jaipur, Saroj Chodhuary, turun dari skuternya dan cuba mendekati sekumpulan wanita yang memakai pakaian sari untuk memperkenalkan dirinya.
“Anda boleh membuat panggilan atau menghantar mesej melalui aplikasi WhatsApp dan kami akan berada di tempat kejadian,” katanya, dengan memakai pakaian seragam dan helmet putih semasa beliau memberitahu butir-butir tersebut.
“Identiti anda akan dirahsiakan, jadi anda boleh merasa bebas untuk mendaftarkan aduan anda. Jika seseorang membuat panggilan tidak senonoh atau menimbulkan masalah dengan anda, beritahu kami, jangan cuba bertindak sendiri.”
Para wanita tersebut kelihatan kagum dengan maklumat yang diberikan – Chodhuary dan rakan-rakannya telah dilatih dalam seni mempertahankan diri dan menghabiskan berbulan-bulan untuk belajar undang-undang – dan merasa lega bahawa bantuan dapat dilaksanakan dengan hanya melalui panggilan telefon.
Radha Jhabua, ibu yang berusia 24 tahun, berkata dia mahu mengadu mengenai jirannya yang selalu mengintai beliau. Namun suaminya khuatir bahawa ia akan membawa nama buruk pada keluarganya.
“Beliau memberitahu saya untuk diam sahaja dan menunggu lelaki itu untuk mengubah sikapnya. Saya kini lebih gembira kerana kami boleh menghantar mesej WhatsApp kepada unit polis wanita ini dan mereka akan menguruskan selebihnya,” katanya kepada AFP.
Seema Sahu, seorang ibu kepada dua orang anak berumur 38 tahun berkata dia biasanya mengelak untuk keluar malam bersama anak-anak perempuannya.
“Saya sangat gembira sekarang bahawa pasukan polis wanita akan berada mengawasi di jalan raya. Kehadiran mereka memberikan keyakinan kepada kami,” katanya.
India menghadapi pengawasan antarabangsa terhadap tahap keganasan pada wanita berikutan pemerkosaan oleh sekumpulan geng jahat terhadap seorang pelajar perubatan di New Delhi pada bulan Disemberi 2012 yang lalu.
Undang-undang telah menetapkan bahawa pesalah seks dihukum dengan sekerasnya, namun serangan itu masih saja meluas. Di ibu negara New Delhi sahaja, terdapat 2,199 kes rogol pada tahun 2015 – purata enam kes sehari.
Polis India telah diperintahkan untuk merekrut lebih banyak pegawai wanita supaya anggotanya dapat membentuk satu pertiga daripada pasukan itu. Tetapi setakat ini, jumlah mereka masih kekal rendah. Unit di Jaipur adalah yang kedua di negeri Rajasthan, dimana yang pertamanya ditubuhkan di Udaipur pada bulan Oktober lalu.
Polis di negara jiran, Uttar Pradesh, berada dalam tekanan atas pendekatan kontroversi mereka dalam memerangi jenayah berkaitan seks.
Terdapatnya para pegawai, termasuk wanita, yang melakukan rondaan dalam apa yang disebut sebagai ‘pasukan anti-Romeo’ yang telah dituduh kerana mengganggu pasangan yang belum berkahwin.
“Kami telah melihat suatu impak yang sangat baik dan hasil yang positif di mana pasukan kami sentiasa membuat rondaan,” katanya.
“Ia mempunyai kesan pencegahan. Ia memulihkan kepercayaan orang ramai terhadap anggota polis, untuk mengekalkan undang-undang dan ketenteraman.”
Kaum lelaki perlu ambil perhatian.
“Ia adalah satu langkah yang sangat baik. Apabila seorang lelaki dikelilingi oleh anggota wanita ini, mereka pasti akan merasa bahangnya secara automatik. Mereka perlu memperbaiki cara mereka,” kata penduduk Jaipur, Ram Lal Gujar. – AFP