Oleh Hasrulraizan
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Julai – Politeknik Brunei ‘B’ muncul juara Kejohanan Futsal Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2017 selepas menewaskan saudaranya, Politeknik Brunei ‘A’ dengan jaringan 1-0 pada perlawanan akhir malam tadi.
Sementara IBTE SBC (Kampus Sultan Bolkiah) dari Daerah Belait memastikan tempat ketiga menjadi milik mereka apabila menang 3-1 menerusi penentuan sepakan penalti ke atas Universiti Teknologi Brunei (UTB) setelah kedua-dua pasukan terikat seri 1-1 dalam masa sebenar perlawanan.
Hadir menyaksikan kedua-dua perlawanan dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah termasuk hadiah Penjaring Terbanyak kepada pemain dari Politeknik Brunei ‘A’, Mohd Abdul Khaliq ialah Pegawai Kegiatan Luar dan Perkembangan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Universiti Brunei Darussalam, Mohammad Ali Sabri bin Haji Abang.
Sebanyak 13 buah pasukan telah menyertai kejohanan anjuran Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Universiti Brunei Darussalam itu, yang telah dibahagikan kepada tiga buah kumpulan iaitu masing-masing empat buah pasukan dalam Kumpulan A dan B, dan lima buah pasukan dalam Kumpulan C.
Dua buah pasukan terbaik dari setiap kumpulan secara automatik mara ke peringkat suku akhir dan ditambah lagi dengan dua buah pasukan terbaik di tempat ketiga bagi melengkapkan lapan buah pasukan di peringkat berkenaan. Perlawanan peringkat kumpulan telah berlangsung pada Ahad, 23 Julai yang lalu.
