Oleh Siti Nur Wasimah S.
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Jan – Politeknik Brunei telah melakar satu lagi mercu tanda setelah menjadi institusi pengajian tinggi pertama di negara ini yang didaftarkan sebagai ahli institusi di bawah Inisiatif Akademi Oracle.
Sehubungan itu, pelancaran rasmi Politeknik Brunei sebagai ahli keinstitusian Akademi Oracle telah diadakan hari ini di One Stop Centre, Politeknik Brunei dan disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha Tetap Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan, Profesor Madya Dr Haji Azman bin Ahmad selaku tetamu kehormat majlis.
Pemangku Ketua Sekolah Informasi Komunikasi dan Teknologi (ICT), Politeknik Brunei, Awang Mohammad Hamdani Mustapa dalam ucapannya menyatakan bahawa Akademi Oracle, bermatlamat untuk memajukan pendidikan sains komputer untuk meningkatkan pengetahuan, inovasi, pembangunan kemahiran dan kepelbagaian dalam bidang teknologi.
Akademi Oracle Politeknik Brunei khususnya pula, jelas beliau, berhasrat untuk memperkayakan pengalaman pendidikan ICT melalui nilai-nilai tambah kurikulum yang berkaitan dengan pemprograman komputer, pangkalan data dan trend IT baru untuk inovasi masa depan yang diharap dapat menyumbang kepada pembangunan ICT di Brunei Darussalam.
Beliau menjelaskan lagi bahawa menjadi ahli Akademi Oracle memberikan pelbagai kemudahan seperti menyediakan akses kepada kursus ‘Curricula on Java Progamming and Database’, bengkel-bengkel dan sumber Akademi Oracle, lesen program teknologi perisian Oracle bagi pendidikan, peluang-peluang pembangunan profesional serta penglihatan komuniti profesional dan juga pensijilan Oracle.

Dalam pada itu, beliau juga menyatakan bahawa Sekolah ICT sentiasa berminat meneroka prospek mengintegrasikan pensijilan profesional ke dalam kurikulumnya yang bermatlamat untuk menambah nilai kepada program-program ICT yang ditawarkan.
“Untuk maju ke hadapan, kami mengalu-alukan lebih banyak kerjasama dengan rakan-rakan industri dalam masa terdekat, sama ada untuk melengkapkan kurikulum atau untuk bekerjasama dalam projek-projek ICT berkaitan yang akan memberi manfaat kepada pelajar-pelajar kita, masa depan kita dan pemimpin IT,” tambahnya.
Majlis kemudian menyaksikan Profesor Madya Dr. Haji Azman menyempurnakan pelancaran rasmi Politeknik Brunei menjadi ahli Akademi Oracle dan juga sesi bergambar ramai.
Turut hadir di majlis itu ialah Pengarah Politeknik Brunei, Denis Ho Mun Tai; Pemangku Penolong Pengarah Poliktenik Brunei, Awang Alias bin Haji Abu Bakar, ketua-ketua jabatan dan sekolah serta para pelajar.