KOTA KINABALU, 3 SEPT – Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman mahu Politeknik Kota Kinabalu memastikan graduan dihasilkan berkualiti dan memenuhi piawaian industry-ready serta mampu menjadi pemacu inovasi dan digitalisasi yang diperlukan bagi menyokong pembangunan strategik negeri ini.
Beliau berkata dengan peningkatan graduan setiap tahun, politeknik itu menjadi penyumbang utama tenaga mahir selain lulusannya banyak mengisi ruang pekerjaan kritikal di Sabah khususnya dalam sektor berkaitan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sejak penubuhannya 29 tahun lepas.
“Saya percaya Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti sentiasa komited memastikan penyampaian pendidikan TVET di negeri ini lebih holistik selaras dengan usaha murni kerajaan negeri menubuhkan Majlis TVET Sabah pada 19 Mei 2025.
“Tujuan penubuhan majlis ini adalah untuk memperkukuh ekosistem latihan teknikal, menyelaras institusi TVET di Sabah dan memastikan graduan dilahirkan bersedia memasuki dunia pekerjaan,” katanya ketika berucap merasmikan Istiadat Konvokesyen Politeknik Kota Kinabalu ke-29 hari ini.
Musa berkata sehingga kini, kebolehpasaran graduan TVET menunjukkan prestasi sangat baik, dengan kadar melebihi 95 peratus selain bidang TVET juga membuka ruang kepada mereka untuk bekerja sendiri dan mencipta peluang pekerjaan baharu menggunakan kemahiran dipelajari. – Bernama


