Wednesday, March 26, 2025
33.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Politeknik, UiTM perluas kerjasama

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 April – Politeknik Brunei terus mengorak langkah ke hadapan apabila berjaya menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM) di Politeknik Brunei, Bandar Seri Begawan, hari ini.

    Pengarah Politeknik Brunei, Dennis Ho Mun Tai dalam temu bual semasa Majlis Penandatangan MoU pagi tadi berkata, kerjasama dengan institusi luar negara itu merupakan hasrat untuk meningkatkan kerelevanan, keberkesanan pengajaran serta pembelajaran yang diberikan kepada pelajarnya.

    “Oleh itu, penandatanganan MoU ini merupakan usaha untuk merealisasikan harapan besar untuk para pelajar yang menyaksikan Politeknik Brunei dan UiTM secara rasmi meneroka pelbagai peluang kerjasama bagi manfaat bersama,” jelas Dennis Ho Mun Tai.

    Beliau turut menerangkan MoU itu juga merupakan langkah awal ke arah meneroka pelbagai peluang kerjasama rasmi kedua-dua pihak dalam pelbagai bidang pengajaran dan pembelajaran termasuk latihan untuk pensyarah serta program pertukaran pelajar. Penandatanganan MoU bagi pihak Politeknik Brunei telah disempurnakan oleh pengarahnya dan Naib Canselor UiTM, Profesor Emeritus Datuk Dr Hassan Said pula menyempurnakannya bagi pihak UiTM.

    Dennis Ho Mun Tai (dua kiri) bertukar dokumen perjanjian dengan wakil UiTM, Dr Sallehan (dua kanan) selepas menandatangani MoU, kelmarin.

    Hadir pada majlis pagi tadi ialah Penolong Pengarah Politeknik Brunei, Awang Alias bin Haji Abu Bakar; Wakil UiTM, Pensyarah Jabatan Senibina, UiTM Seria Iskandar, Dr Sallehan bin Ismail, Neta Suredah Baharum, pensyarah dan pegawai dari Politeknik Brunei serta rombongan dari UiTM.

    MoU itu akan melibatkan program pertukaran kakitangan, pelajar, bengkel latihan dan kursus bersama, seminar dan persidangan bersama serta kerjasama dalam pelbagai bidang dan aktiviti.

    Selain itu, ia juga menandakan bermulanya kerjasama rasmi pertama Politeknik Brunei dengan UiTM, di mana kedua-dua belah pihak bersetuju melaksanakan usaha untuk manfaat bersama program penglibatan pelajar dan kegiatan berasaskan penyelidikan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda