Wednesday, January 22, 2025
27.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Politik gunakan sains sebagai senjata’

    PARIS, 21 JAN – Ketua iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu kelmarin berkata sains pemanasan global telah digunakan sebagai senjata oleh politik, sehari selepas Donald Trump mengeluarkan Amerika Syarikat (AS) daripada Perjanjian Paris.

    Simon Stiell berkata peristiwa geopolitiik yang berubah tidak dapat mengubah fakta kukuh yang menyokong perubahan iklim dan akibat buruk berkaitan dengan pemanasan planet.

    Tahun lalu merupakan tahun paling panas dalam rekod dan suhu purata gabungan 2023 dan 2024 melebihi penanda aras 1.5 darjah Celsius yang ditetapkan dalam perjanjian iklim Paris untuk kali pertama.

    Stiell berkata sokongan terhadap sains iklim adalah ‘jauh lebih signifikan berbanding beberapa suara yang mencabarnya.’

    “Sains sebenarnya telah dijadikan senjata, dan sekali lagi ia mencerminkan politik,” katanya kepada hadirin di Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland.

    Pada hari pertama penggal kedua beliau sebagai presiden, Trump mengumumkan bahawa AS akan menarik diri lagi daripada perjanjian iklim Paris yang disokong oleh hampir 200 negara.

    Trump, yang telah menyuarakan keraguan mengenai perubahan iklim dan usaha global untuk menanganinya, melakukan perkara yang sama semasa penggal pertama beliau, tetapi Joe Biden menyertai semula perjanjian itu. “Kita pernah berada di sini sebelum ini,” kata Stiell.

    Namun, dunia sedang melalui peralihan tenaga yang tidak dapat dihentikan yang menarik pelaburan sebanyak AS$2 trilion untuk tenaga boleh diperbaharui pada tahun 2024, kata beliau, dua kali ganda daripada jumlah yang dilaburkan dalam bahan api fosil. – AFP

    Gambar Canva
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda