Sunday, February 9, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Politik Thailand terus buntu

    BANGKOK, 3 OGOS – Pengundian untuk memilih perdana menteri baharu Thailand sekali lagi ditangguhkan, sekali gus menjadikan kebuntuan politik di negara ini berlarutan hampir tiga bulan sejak pilihan raya umum berlangsung pada14 Mei lepas.

    Speaker Wan Muhamad Noor Matha berkata undian yang dijadualkan pada Jumaat hanya boleh diadakan selepas Mahkamah Perlembagaan memutuskan rayuan oleh Parti Move Forward (MFP).

    Awal hari ini, Mahkamah Perlembagaan Thailand berkata pihaknya memerlukan lebih banyak masa dan butiran untuk menyemak petisyen menentang keputusan Parlimen bulan lepas yang melarang pemimpin parti MFP Pita Limjaroenrat daripada memohon pencalonan semula sebagai perdana menteri.

    “Kita perlu menunggu keputusan Mahkamah Perlembagaan pada 16 Ogos sebelum memutuskan tarikh pengundian (PM) diteruskan,” katanya. Mahkamah menetapkan 16 Ogos sebagai tarikh baharu untuk mendengar rayuan yang difailkan oleh Ombudsman negara.

    Selepas pilihan raya 14 Mei, MFP dan Pheu Thai yang membentuk gabungan bersama enam parti lain, secara kolektif memperoleh 312 kerusi daripada 500 kerusi Dewan Perwakilan. Gabungan itu memerlukan sokongan tambahan untuk mendapatkan 375 undi daripada 750 Ahli Parlimen dwidewan, termasuk 250 senator bagi membentuk kerajaan.

    Pada 13 Julai lalu, Pita Limjaroenrat dari MPF gagal mendapatkan sokongan yang mencukupi untuk dipilih sebagai perdana menteri baharu.

    Undian prosedur enam hari kemudiannya memutuskan bahawa beliau tidak boleh dicalonkan buat kali kedua, sekali gus menamatkan peluang Pita untuk menjadi perdana menteri. – Bernama

    Seorang lelaki bekerja di luar perkarangan bangunan parlimen Thailand di Bangkok, 3 Ogos. Politik Thailand terus menemui kebuntuan apabila pengundian memilih perdana menteri baharu ditangguhkan lagi.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda