Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OGOS – Persatuan Anggota Polis Diraja Brunei Yang Bersara (POLSARA) tidak ketinggalan menyemarakkan suasana Pentas Perayaan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-79 yang berlangsung di Daerah Temburong malam tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat adalah Pemangku Pegawai Pemerintah Daerah Polis Temburong, DSP Shamsulariffin bin Haji Abdul Wahab. Turut hadir, Yang Di-Pertua POLSARA, Supt (B) Haji Awang Yahya bin Haji Ibrahim; Penasihat POLSARA, ACP (B) Haji Murad bin Haji Abd Hadi; Setiausaha, ASP (B) Haji Rashid bin Haji Kassim; ahli-ahli jawatankuasa tertinggi POLSARA bersama isteri dan keluarga.
Dengan bertemakan Malam Kenangan Mengusik Jiwa, acara berkenaan menampilkan persembahan lagu-lagu nostalgia dan puisi yang disampaikan oleh lebih 20 ahli POLSARA bersama isteri masing-masing.
Acara berkenaan merupakan kali pertama POLSARA diberi peluang untuk membuat persembahan di Pentas Perayaan Daerah Temburong.
Penglibatan POLSARA menyerikan lagi acara berkenaan dengan hiburan yang bukan sahaja menarik perhatian penduduk tempatan, bahkan turut disaksikan oleh para pengunjung dari seluruh daerah yang hadir menyemarakkan suasana.
Acara hiburan malam berkenaan diketuai oleh Pengerusi Hiburan, DSP (B) Haji Mohd Yusop bin Haji A Kassim dan dikendalikan oleh juru acara, Insp (B) Haji Awang Besar bin Haji Mahali dan SM (B) Zainal Abidin bin Sahari.


