Thursday, May 1, 2025
28.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    POLSARA terima undangan melawat pesara polis Limbang

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MEI – Persatuan Anggota Polis Diraja Brunei bersara (POLSARA) telah mengadakan lawatan atas undangan Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) Cawangan Limbang di Daerah Limbang, Sarawak baru-baru ini dengan tujuan untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim.

    Hadir mengalu-alukan rombongan POLSARA yang diketuai oleh Yang Di-Pertuan POLSARA Supt (B) Haji Awang Yahya bin Haji Ibrahim ialah Pengerusi PBPM Cawangan Limbang, Awang Roslan bin Haji Kimin.

    Undangan oleh PBPM berkenaan merupakan yang pertama kali diungkayahkan, yang mana berharap hubungan mesra akan sentiasa terjalin pada masa hadapan.

    Lawatan berkenaan menghimpunkan lebih kurang 70 orang ahli yang terdiri daripada kedua-dua persatuan di Dewan Bunga Raya, Limbang.

    Turut menghadiri majlis berkenaan ialah jemputan khas, Ketua Polis Daerah Limbang, Superintenden Parun Niot yang dalam ucapannya mengatakan majlis dan program antara kedua-dia persatuan merupakan platform terbaik untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala dan kerjasama antara kedua-dua pihak.

    Parun Niot juga turut berkata, hubungan silaturahim sedemikian perlu dipelihara, diperkukuh dan disuburkan lagi walaupun berbeza latar belakang tempat dan negara sekali gus dapat menyerlahkan lagi hubungan dan semangat persaudaraan rentas sempadan yang telah lama terjalin.

    Lawatan berkenaan juga disertai Penasihat bersama POLSARA, ACP (B) Haji Murad bin Haji Abdul Hadi; Ketua Pesara Wanita, Supt (B) Hjh Norputemah binti Hj Puteh dan AJK Tertinggi serta ahli-ahli POLSARA.

    Sesi bergambar ramai semasa lawatan berkenaan. – GAMBAR SERAHAN POLSARA
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda