Thursday, September 19, 2024
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pompano rig ampuh untuk pancingan pantai

    Oleh Raz AS –

    Pancingan pantai merupakan aktiviti menyeronokkan yang boleh dinikmati oleh pemancing daripada pelbagai latar pengalaman, baik yang baharu mahupun yang lama.

    Antara kaedah popular yang digunakan untuk pancingan pantai selain daripada perambut batu hidup atau fishfinder rig, adalah perambut duai atau pompano rig.

    Meskipun lebih dikenali sebagai pompano rig, ia juga dikenali sebagai double dropper rig atau high low rig. Namun bezanya adalah pompano rig selalunya akan dipasangkan dengan manik-manik dan pelampung kecil berwarna khas untuk menarik perhatian ikan.

    Pompano rig selalunya digunakan oleh pemancing-pemancing di barat untuk memancing ikan duai dari pantai, demikian dari situlah ia memperoleh namanya.

    Namun spesies yang boleh ditangkap menggunakan kaedah ini tidak terhad pada ikan duai sahaja, pelbagai jenis ikan yang mencari makan berdekatan dasar daripada bersaiz kecil hinggalah yang besar boleh ditumbangkan bergantung kekuatan tali yang digunakan.

    Gambar rajah perambut duai atau pompano rig. – GAMBAR OLEH COASTAL ANGLER
    Pelampung kecil yang berwarna digunakan untuk mengangkat umpan dari dasar dan menarik perhatian ikan. – GAMBAR OLEH COASTAL ANGLER

    Kebiasaannya, pompano rig dipasangkan dengan dua bentuk mata kail bersaiz 1/0 hingga 3/0, tetapi boleh juga dipasang sehingga tiga mengikut kemahuan masing-masing.

    Talinya pula terdiri daripada jenis monofilament atau fluorocarbon berkekuatan antara 20lb ke 60lb mengikut spesies buruan. Barrel swivel saiz 2 untuk menghubungkan perambut dengan tali utama dan snap swivel, juga saiz 2, untuk dihubungkan dengan batu ladung jambu atau piramid berat 50 ke 100 gram bergantung arus.

    Selain itu juga diperlukan manik plastik berukuran 8 ke 12mm berwarna merah atau jingga, dan pelampung khas berukuran ¾ inci untuk mengangkat umpan dari dasar dan menarik perhatian ikan. Pelampung pompano rig selalunya ada tiga jenis iaitu yang berbentuk kapsul, silinder dan bentuk telur. Semuanya datang dalam pelbagai warna yang terang dan saiz berbeza.

    Untuk membuat pompano rig adalah sangat mudah, dengan menggunakan tali pancing sepanjang 4 ke 5 kaki, hujungnya diikat dengan barrel swivel menggunakan ikatan clinch atau palomar manakala yang hujung satu lagi diikat dengan snap swivel.

    Kira-kira 10 inci dari snap, buat ikatan dropper loop sepanjang 4 ke 5 inci, dan 10 inci dari dropper loop pertama ikatkan dropper loop kedua, demikian sekiranya ingin menggunakan tiga mata kail bolehlah membuat dropper loop 10 inci daripada dropper loop kedua tadi.

    Masukkan pelampung khas ke setiap dropper loop tersebut kemudian diikuti dengan manik dan seterusnya mata kail diikat dengan ikatan palomar atau quick switch.

    Umpan yang sesuai digunakan bersama pompano rig adalah potongan isi ikan, udang, sotong dan kerang.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda