PUTRAJAYA, 2 Ogos – Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Michael R. Pompeo tiba hari ini untuk memulakan lawatan kerja dua hari ke Malaysia.
Pesawat yang membawa Pompeo dan delegasinya mendarat di pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Subang dekat sini kira-kira 7:15 malam.
Beliau disambut oleh para pegawai kanan Kementerian Luar dan Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Kamala Shirin Lakhdhir. Menurut kenyataan Wisma Putra hari ini, esok Pompeo akan mengadakan kunjungan hormat terhadap Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang dilantik semula sebagai Perdana Menteri berikutan kemenangan beliau dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei lepas.
“Lawatan ini memberi kesempatan yang luas kepada kedua-dua negara, Malaysia dan Amerika Syarikat untuk mengadakan perbincangan meluas mengenai pelbagai isu dua hala, serantau dan antarabangsa di mana kedua-dua negara mempunyai kepentingan bersama,” kata Wisma Putra.
Selain Kuala Lumpur, Pompeo juga dijadual melawat Singapura dan Indonesia dalam rangka lawatan beliau ke Asia Tenggara pada 1-5 Ogos. – Bernama