WASHINGTON, 13 JAN – Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Mike Pompeo semalam mendakwa Iran menjadi pangkalan baharu bagi kumpulan pengganas, Al-Qaeda yang disifatkan lebih buruk daripada Afghanistan.
Dalam kenyataan yang dibuat kira-kira seminggu sebelum beliau meninggalkan pejabatnya, Pompeo mengesahkan laporan New York Times bahawa komando kedua Al-Qaeda yang terbunuh tahun lalu di Tehran, namun tidak menyatakan Israel melakukannya.
“Al-Qaeda memiliki markas baharu dan ia adalah di Iran.
“Kita boleh katakan Iran adalah markas baharu selepas Afghanistan, hab geografi utama bagi Al-Qaeda. Tidak seperti Afghanistan, ketika Al-Qaeda bersembunyi di pergunungan, Al-Qaeda hari ini beroperasi dengan mendapat perlindungan daripada rejim Iran,” katanya kepada National Press Club.
Susulan itu, beliau mahu lebih banyak tekanan antarabangsa terhadap Iran kerana gabungan Al-Qaeda dan Iran adalah lambang ‘kekuatan kejahatan terbesar di dunia’.
Pompeo juga turut mengumumkan sekatan terhadap beberapa individu dan menawarkan ganjaran AS$7 juta bagi sesiapa yang menyalurkan maklumat mengenai anggota Al-Qaeda yang dipercayainya berada di Iran yang dikenal pasti sebagai Muhammad Abbatay atau Abd al-Rahman al-Maghrebi.
Ramai kalangan pakar percaya Tehran membenarkan operasi Al-Qaeda menggunakan wilayahnya yang secara perbandingannya lebih selamat daripada tentera AS sekali gus memberikan jaminan pelampau tidak akan menyasarkan Iran. – AFP