WASHINGTON, 30 Mei – Seorang pegawai kanan Korea Utara hari ini berkunjung ke New York untuk rundingan peringkat tinggi dengan pegawai Amerika Syarikat (AS) tatkala persediaan untuk sidang kemuncak nuklear yang bersejarah di antara Donald Trump dan Kim Jong Un semakin hampir.
Jeneral Kim Yong Chol, naib pengerusi jawatankuasa Parti Pekerja dan orang kanan kepada Kim, akan bertemu dengan Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo di New York, kata pegawai.
Trump mengesahkan di Twitter bahawa jeneral sedang dalam perjalanan dan berkata Washington akan mempunyai ‘kumpulan yang hebat’ untuk rundingan bagi menyelesaikan perbalahan tersebut. Presiden masih berharap mesyuarat itu akan diadakan pada 12 Jun ini di Singapura.
“Mesyuarat mengenai Sidang Kemuncak sedang diadakan dan banyak lagi. Kim Young Chol, Naib Pengerusi Korea Utara, sedang berkunjung ke New York. Tindak balas yang kukuh terhadap surat saya, terima kasih!” tulis Trump.
Trump juga akan bertemu dengan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe di Washington pada 7 Jun ini, kata jurucakap Rumah Putih, Sarah Sanders.

“Sejak surat presiden bertarikh 24 Mei kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, Korea Utara telah membabitkan diri,” katanya.
“Amerika Syarikat terus bersiap sedia secara aktif untuk sidang kemuncak Presiden Trump dengan pemimpin Kim di Singapura.”
Duta Korea Utara berada di lapangan terbang Beijing semalam untuk penerbangannya ke New York, sehari selepas tiba di ibu negara China. Beliau menggunakan pintu masuk VIP, menurut wartawan AFP. Jurucakap Pompeo berkata ia akan menjadi mesyuarat ketiga di antara Jeneral Kim dan Pompeo, yang memulakan hubungan dengan rejim Pyongyang apabila dia masih menjadi pengarah CIA.
“Kami masih memuktamadkan mesyuarat berkenaan,” katanya.
Lawatan itu adalah sebahagian daripada beberapa siri diplomasi sebelum sidang kemuncak diadakan.
Trump membatalkan rundingan pada minggu lalu, memetik ‘penentangan terbuka’ daripada Utara, tetapi sejak itu kedua-dua pihak telah mengurangkan retorik antara satu dengan yang lain dan proses nampaknya kembali pulih. – AFP