Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 April – Pong Bee Thing menjadi pemilik kereta Mercedes Benz C-Class Cabriolet pertama di negara ini selepas menjadi pelanggan pertama yang membelinya ketika majlis pelancaran model tersebut di Bilik Pameran Mercedes Benz, Jati Transport, Gadong, di sini, hari ini.
Penyerahan Mercedes Benz C-Class Cabriolet pertama itu disempurnakan oleh Pengurus Jualan Jati Transport, Ho Ley Hoon.
“C-Class Cabriolet 2017 merupakan sebuah kereta convertible empat tempat duduk yang dilengkapi dengan teknologi terkini bagi memastikan pemanduan yang selesa dan selamat. Ia dibina begitu indah dengan bumbung yang boleh dibuka secara automatik yang menjadikannya sebuah kereta mewah yang mampu dimiliki dan luas,” kata Ho Ley Hoon.
Sementara itu, Pong Bee ketika ditemui berkata, beliau jatuh cinta dengan kereta tersebut semasa pertama kali melihatnya dari gambar-gambar daripada Ho Ley Hoon. “Saya sangat yakin dengan Mercedes Benz sehinggakan saya membuat tempahan tanpa meminta untuk menguji pandu.



“Saya telah memandu jenama Mercedes Benz sudah hampir 10 tahun dan Cabriolet ialah model Mercedes ketiga saya. Saya sangat berpuas hati dengan perkhidmatan pelanggan diberikan oleh Jati Transport dan sekarang ingin menikmati kereta baru saya buat kali pertama.”
Pong Bee memilih model C 180 ‘Designo Diamond White’ beratapkan merah yang dilengkapi dengan sistem audio Burmester Surround dan tayar aloi Multi Spoke AMG 19 inci.
Kereta tersebut mempunyai kapasiti 360 liter muatan dan mampu menyimpan bagasi-bagasi besar untuk penggunaan seharian.