Thursday, November 28, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Poni Group rai pencapaian penting

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 NOV – Poni Group meraikan ulang tahun ke-15 yang menandakan pencapaian penting dalam perjalanannya daripada kedai rekreasi kepada organisasi yang memenangi pelbagai anugerah dengan majlis penandatanganan Perjanjian Persefahaman (MoU) yang diadakan di Serambi Batil, Tarindak D’Seni hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis itu ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin, yang seterusnya menyaksikan penandatangan MoU di antara Poni Group dengan beberapa rakan kongsi yang lain.

    Menandatangani bagi pihak Poni Group ialah Ketua Pegawai Eksekutif Poni Group, Awang Mohd Tahsin Wong bin Abdullah manakala Indonesia diwakili oleh Ketua Pegawai Pertumbuhan di Jejakin (Indonesia), Sudono Salim.

    Sementara itu, United Kingdom (UK) diwakili oleh Pengarah di EGB Engineering (UK), Dr Arnold Gad-Briggs dan Presiden di Earth Sight International, Brian Craddock selaku wakil dari Kanada.

    MoU tersebut memberi tumpuan kepada dekarbonisasi, pengurusan emisi karbon dan kesiapsiagaan terhadap perubahan iklim.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf hadir pada majlis itu. – GAMBAR OLEH JAMES KON
    Wakil-wakil bertukar dokumen pada majlis penandatanganan MoU kelmarin. – GAMBAR OLEH JAMES KON
    Antara yang hadir pad amajlis tersebut. – GAMBAR OLEH JAMES KON

    Terdahulu, Awang Mohd Tahsin Wong telah menyampaikan perkongsian khas perjalanan Poni selama 15 tahun dengan tajuk Poni Group: 15 Years of Growth & Impact.

    Selain itu, Perjanjian Kerjasama Penyelidikan dengan Cabaran Inovasi Biru UNDP ASEAN (ABIC) turut diberi tumpuan dengan memfokuskan kepada perikanan yang mampan, keselamatan sempadan maritim dan kredit karbon biru.

    Kerjasama itu menekankan komitmen Poni Group dalam memajukan penyelesaian inovatif bagi pemuliharaan alam sekitar dan pengurusan sumber yang mampan di Asia Tenggara.
    Selaras dengan misinya membina masa depan mampan, Poni Group juga mengumumkan pelancaran Poni Foundation pada 2025.

    Yayasan tersebut akan memberi tumpuan kepada pemuliharaan marin, pemulihan ekosistem, kesihatan dan kesejahteraan, di samping projek kemanusiaan yang menekankan komitmen mendalam kumpulan itu terhadap penglibatan sivik dan pemeliharaan alam sekitar.

    Majlis turut memberikan peluang kepada tetamu untuk berinteraksi dengan rakan kongsi dan kolaborator, membincangkan projek-projek masa depan serta meraikan pencapaian Poni Group dalam tempoh 15 tahun lalu.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda