Ahad, 23 November 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Poni lancar program latihan eko terumbu karang

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 MEI – Poni Divers baru-baru ini telah melancarkan program latihan eko terumbu karang baharu di Brunei sebagai pusat rakan kongsi Reef Guru.

    Menurut Poni Divers, kursus Reef Guru Coral Diver merupakan program penyelam batu karang antarabangsa dalam talian yang pertama di negara ini yang dijalankan dalam suasana bilik darjah dan secara teori dalam talian, manakala itu, komponen menyelam praktikal dilaksanakan oleh tenaga pengajar Reef Guru yang bertauliah di Poni Divers.

    Penyelam Reef Guru pertama telah diperakui pada 5 Mei lalu, di mana lapan orang penyelam pemuliharaan Reef Guru dan dua penyelam pemulihan Reef Guru melalui pengalaman langsung di tapak semaian batu karang bawah air Poni Divers di Pulau Pelong-Pelongan.

    Para penyelam telah dibimbing oleh jurulatih Reef Guru, Maclen Torres dengan sokongan daripada Ketua Pegawai Eksekutif Poni Divers dan jurulatih pembiakan batu karang berpengalaman, Mohd Tahsin Wong Abdullah, selain mendapat bimbingan daripada Pengasas Bersama Reef Guru dan ahli biologi marin, Grace Phillips dan Lucy Fisher.

    Pelancaran program Reef Guru berkenaan ditaja oleh SC Tubular Solutions Sdn Bhd (SCTSB) sebagai sebahagian daripada komitmen untuk melindungi alam sekitar marin dan mempromosikan pemuliharaan marin bersama para belia di Brunei di bawah Program Sekolah Reef Ball SCTSB sebagai sebahagian daripada Program Reef Ball Brunei.

    Program SCTSB itu antara lain bertujuan untuk melatih 42 orang kakitangan SCTSB bersama 126 murid sekolah tempatan.

    Program Reef Ball Brunei telah dilancarkan oleh Yayasan Poni Divers & Poni dengan sokongan daripada Jabatan Perikanan pada Julai 2023 sebagai usaha kebangsaan untuk meningkatkan pemuliharaan marin, meningkatkan hasil perikanan, dan mengurangkan kesan kenaikan paras laut.

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda