Oleh Aqilah HMS –
Aku masih ingat, masa aku darjah empat. Cuti sekolah hujung tahun, seperti biasa, aku akan dihantar ke kampung untuk tinggal bersama nenek. Sebuah kampung yang dikelilingi sawah padi dan rumah-rumah kayu lama itu memang menenangkan pada siang hari. Tapi bila malam menjelang, suasana bertukar sunyi dan menyeramkan.
Rumah nenek sejenis rumah tiga tingkat dan ada beranda besar kat tingkat atas. Di depan rumah, betul-betul seberang jalan tanah merah kecil, ada sebuah rumah tinggal. Rumah itu gelap, berlumut dan sudah lama tak berpenghuni. Tapi yang paling aku ingat di tepi rumah tinggal itu, ada sepohon pokok pisang yang rendang daunnya dan selalu bergoyang walaupun angin tak bertiup.
Nenek pernah pesan, “Jangan main dekat pokok pisang tu, Wan. Situ bukan tempat budak-budak.” Aku angguk saja. Masa tu, aku tak faham. Tapi lepas satu malam tu aku jadi faham.
Malam itu, aku susah nak tidur. Mungkin sebab minum air sirap banyak sangat masa makan malam. Aku baring di ruang tamu sambil tengok kipas siling berputar. Suara cengkerik dan bunyi angin malam bersatu jadi latar yang sunyi. Nenek dah lama lena di bilik. Jam mungkin dah dekat pukul 1 pagi.
Tiba-tiba, aku dengar bunyi, “Heeeeee… heeeeeee…” Ketawa panjang. Sayup. Seolah-olah dari jauh. Tapi seram. Bulu roma aku terus tegak. Aku duduk. Jantung berdegup laju. Aku ingatkan aku salah dengar. Rupanya benar, bunyi perempuan mengilai!

Kemudian aku dengar bunyi tapak kaki berlari di atas bumbung rumah.“Tok! Tok! Tok!” Macam budak kecil berlari dengan kaki ayam. Aku terdiam, tak mampu nak panggil nenek.
Bulu tengkuk meremang. Mata aku meliar ke tingkap depan. Tirai nipis ditiup angin malam.
Masa itulah aku nampak sesuatu. Di bawah pokok pisang depan rumah tinggal tu ada satu susuk tubuh berdiri. Rambutnya panjang mengurai sampai ke tanah. Bajunya putih kotor dan dia sedang pandang terus ke arah aku. Dia senyum. Senyum yang sangat lebar, macam mulutnya robek sampai ke pipi.
Aku pejam mata sekuat hati. Aku baca surah yang aku tahu, Al-Fatihah, 3 Qul, mana yang sempat. Tapi suara itu masih kedengaran.“Heeeeeeee…” Malah semakin nyaring lagi.
Lama aku diam dalam ketakutan. Aku tak ingat macam mana aku akhirnya tertidur. Bila aku buka mata, cahaya pagi masuk dari celah dinding papan. Nenek tengah siapkan sarapan. Aku terus peluk nenek.
“Nenek… malam tadi Wan nampak… ada orang kat pokok pisang tu.” Nenek pandang aku dengan muka tenang, tapi suara dia tegas.
“Wan, itu bukan orang. Itu yang nenek dah pesan jangan dekat situ. Dia suka budak-budak. Lagi-lagi yang suka main luar waktu Maghrib.”
Rupanya, beberapa minggu sebelum aku datang, ada budak kampung lain kena histeria.
Semua mula bila dia main sorok-sorok dekat rumah tinggal depan rumah nenek tu. Budak tu nampak benda sama, perempuan rambut panjang, berdiri di bawah pokok pisang.
Sejak malam tu, aku tak berani pandang pokok pisang tu lagi, walau siang hari dan bila Maghrib, aku akan pastikan aku dah duduk dalam rumah, baca doa, dan duduk dekat nenek.
Tapi gangguan tu tak berhenti setakat malam tu. Beberapa malam kemudian, aku terjaga sebab bau bunga melur memenuhi ruang tamu. Bau tu wangi tapi menusuk hidung, sampai buat aku rasa mual. Bau tu campuran bunga melati tetapi dalam masa yang sama aku mencium bau busuk seperti bau bangkai tikus.
Aku buka mata perlahan-lahan. Aku nampak bayang rambut panjang di tingkap. Perlahan-lahan, cakar-cakaran di dinding papan.“Tok… Tok…”Bunyi jari kukunya ketuk dinding. Aku peluk selimut, cuba kejutkan nenek.
Tapi suara dia dari bilik belakang. Seolah-olah nenek tahu. Aku pejam mata sambil menangis dalam diam.
Hari terakhir aku di kampung, nenek panggil aku duduk depan dia. Dia pegang kepala aku dan baca sesuatu, zikir dan ayat al-Quran. Katanya, dia ikhtiar ‘tutup pintu’ supaya makhluk tu tak ikut balik.
Sekarang aku dah dewasa dan sudah berkeluarga. Bila balik kampung, rumah tinggal tu dah roboh, pokok pisang pun ditebang. Tapi setiap kali aku lalu kawasan tu, aku masih terbayang rambut panjang, senyum lebar dan suara ketawa yang meleret-lerek itu adalah Pontianak.
Dia mungkin tak muncul lagi secara zahir. Tapi dalam mimpi, kadang-kadang dia datang.
Berdiri di bawah pokok yang dah tak ada dan aku masih tak mampu buang rasa takut terhadap benda tu dan sampai sekarang aku tak tahu kenapa benda tu hanya ganggu
aku.