Thursday, February 6, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Poo Vasanthan pertahan kejuaraan

    KUALA LUMPUR, 1 OKT – Pelari jarak jauh kebangsaan Malaysia, S. Poo Vasanthan berjaya mengungguli kategori pelumba tempatan lelaki larian Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KLSCM) 2023 hari ini sekali gus mengulangi kejayaan sama dicapainya pada edisi maraton itu tahun lalu.

    Pelari muda berusia 25 tahun itu menamatkan larian sejauh 42 kilometer (km) yang bermula di Dataran Merdeka dengan catatan masa 2 jam 37 minit 38 saat (s) mengatasi Nik Fakaruddin Ismail yang berada di tempat kedua (2:37:42s) diikuti Tan Huong Leong di tempat ketiga (2:37:49s).

    Poo pada sidang media berkata beliau bertekad mengikuti jejak langkah Muhaizar Mohamad yang pernah menjulang kejuaraan KLSCM lima kali berturut-turut.

    “Saya mahu mengikuti prestasi Muhaizar tapi saya nak buktikan lebih daripada itu. Untuk perlumbaan hari ini, strategi saya adalah saya pecut apabila tiba pada 2km terakhir,” katanya selepas perlumbaan hari ini.

    Kategori pelumba tempatan wanita pula dimenangi Chua Khit Yeng de-ngan catatan 3:13:06s mengatasi Noor Amelia Musa di tempat kedua dengan catatan masa 3:14:39s manakala Chew Jia Qi di tempat ketiga 3:22:50s.

    Khit Yeng yang juga seorang guru ketika diminta berkongsi rahsia kejayaannya itu berkata beliau kerap melakukan senaman dan larian seawal 3 pagi untuk memastikan rutin harian keluarganya tidak terganggu selain sokongan moral daripada suami dan ahli keluarga.

    Sementara itu, bagi kategori terbuka lelaki, tiga tempat teratas dimonpoli pelari Kenya apabila Kiprop Tonui muncul juara dengan catatan masa 2:13:49s diikuti John Nzau Mwangangi di tempat kedua (2:14:02s) dan Moses Kiptoo Kurgat, tempat ketiga (2:14:22s). – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda