BEIJING, 25 OGOS – Pop Mart dari China mengumumkan akan melancarkan versi mini bagi patung mewah Labubu yang popular bulan ini, berserta dengan versi berbulu panjang baharu watak kecil bergigi tajam itu.
Labubu, hasil karya artis dan ilustrator Kasing Lung, mula diperkenalkan dengan telinga lambing dan gigi tajam menerusi tiga buah buku bergambar yang diinspirasikan daripada mitologi Nordik pada tahun 2015.
Pada 2019, Lung menandatangani perjanjian dengan Pop Mart, sebuah syarikat yang menyasarkan peminat koleksi mainan dan pempengaruh, untuk menjual patung Labubu.
Namun, hanya selepas Pop Mart mula menjual patung mewah Labubu berbentuk rantai kunci pada 2023, barulah makhluk bergigi itu menjadi fenomena.
Pop Mart pada Jumaat berkata patung loket mewah vinil Labubu bersaiz mini, yang merupakan sebahagian daripada siri The Monsters Pin For Love, akan tersedia dalam pelbagai warna mengikut huruf abjad. Setiap satunya akan dijual pada harga AS$22.99.

Siri itu turut merangkumi 30 kotak misteri terdiri daripada loket abjad, masing-masing dengan corak unik dan pesona Monsters, akan dijual pada harga AS$18.99 setiap satu.
Selain itu, Pop Mart juga akan melancarkan anak patung vinil mewah Rock the Universe, sebahagian daripada siri The Monsters Big Into Energy. Anak patung itu, yang akan dilengkapi rantai mutiara dan aloi berbentuk hati, menjadi yang pertama dalam siri Monsters memiliki bulu panjang dengan teknik pewarnaan khas yang memastikan tiada dua figura yang sama. Harga setiap anak patung itu ialah AS$114.99.
Kesemua produk baharu ini akan mula tersedia pada 29 Ogos di laman web Pop Mart, sama ada untuk pengambilan di kedai atau penghantaran. Ia juga boleh didapati menerusi aplikasi syarikat itu dan akaun rasmi TikTok mereka.
Labubu telah menjadi ‘lubuk emas’ untuk Pop Mart. Hasil pendapatan syarikat itu meningkat lebih dua kali ganda pada 2024 kepada 13.04 bilion yuan, sebahagiannya hasil populariti makhluk kecil tersebut. Pendapatan daripada patung mewah Pop Mart melonjak lebih 1,200 peratus pada 2024, hampir 22 peratus daripada keseluruhan hasil, menurut laporan tahunan syarikat itu.
Awal minggu ini, Pop Mart melaporkan keuntungan yang boleh diagihkan kepada pemegang saham melonjak hampir 400 peratus dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Pendapatan meningkat lebih 200 peratus kepada 13.88 bilion yuan.
Pendapatan dari rantau Asia Pasifik meningkat lebih 250 peratus, manakala pendapatan dari benua Amerika melonjak lebih 1,000 peratus. – AP

