Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pope Francis berlepas ke Indonesia, hentian pertama jelajah 4 negara

    JAKARTA, 2 SEPT – Pope Francis, 87, berlepas ke Indonesia hari ini sebagai destinasi pertama dalam lawatan empat negara, dengan hubungan antara agama dijangka menjadi fokus utama lawatannya ke negara dengan penduduk majoriti Islam paling ramai di dunia
    itu.

    Pope meninggalkan Rom pada petang hari ini dan mendarat di Jakarta pada pagi Selasa, destinasi pertama dalam perjalanan selama 12 hari yang juga akan merangkumi Papua New Guinea, Timor Leste dan Singapura.

    Meliputi kira-kira 32,000 kilometer, lawatan ini – yang paling lama dan paling jauh dalam 11 tahun beliau memimpin Gereja Katolik di seluruh dunia – akan menguji kesihatannya yang semakin rapuh.

    Namun, dalam beberapa minggu kebelakangan ini, Pope kelihatan bersemangat, dan beliau sentiasa bertenaga apabila berada dalam kalangan pengikutnya.

    Penganut Katolik kini mewakili kurang daripada tiga peratus penduduk Indonesia – kira-kira lapan juta orang, berbanding 87 peratus, atau 242 juta orang, yang beragama Islam.

    Namun, ia adalah salah satu daripada enam agama yang diiktiraf secara rasmi di negara sekular itu, termasuk juga Protestan, Buddha, Hindu dan Konfusianisme.

    Pada Khamis nanti, Pope dijangka bertemu dengan wakil-wakil dari kesemua enam agama di Masjid Istiqlal, masjid terbesar di Asia Tenggara.

    Di masjid itu, Pope dijangka menandatangani deklarasi bersama dengan imam Nasaruddin Umar. – AFP

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda