VATICAN, 21 APRIL – Pope Francis, seorang reformis yang bersemangat dan mendapat kesetiaan meluas daripada penganut Katolik telah meninggal dunia hari ini pada usia 88 tahun.
Paus dari Argentina itu, yang memimpin Gereja Katolik sejak Mac 2013, menjalani rawatan selama 38 hari akibat radang paru-paru berganda di Hospital Gemelli, Rom, sebelum dilaporkan pulih dan keluar dari hospital pada 23 Mac.
Pemergiannya berlaku hanya sehari selepas beliau menggembirakan ribuan jemaah di Vatican pada Hari Easter dengan kemunculan di balkoni Basilika Saint Peter.

“Saudara dan saudari yang dikasihi, dengan penuh kesedihan saya mengumumkan pemergian Pope Francis,” kata Kardinal Kevin Farrell dalam satu kenyataan yang disiarkan di saluran Telegram rasmi Vatican.
“Pagi ini pada jam 7:35 pagi, Uskup Rom, Francis, telah menghembuskan nafas terakhir.”
Kematian beliau telah mencetuskan proses tradisi berabad-abad lamanya yang akan membawa kepada pemanggilan konklaf kardinal bagi memilih pengganti.
Sementara itu, urusan harian pentadbiran negara kecil Vatican City akan dikendalikan oleh camerlengo, seorang kardinal kanan yang kini disandang oleh Kevin Farrell asal Dublin. –AFP