Oleh Raz AS –
Popper ialah sejenis umpan tiruan aksi permukaan (topwater) yang direka untuk menghasilkan bunyi ‘pop’ atau percikan apabila ditarik. Ia meniru pergerakan mangsa yang bergelut di permukaan air, yang mampu mencetuskan naluri pemangsa untuk menyambarnya. Bahagian mulut popper berbentuk cengkung atau condong bagi menghasilkan bunyi dan percikan semasa ia ditarik.
Sejarah popper dapat dijejak sedari awal abad ke-20, iaitu awal 1900an. Ia merupakan salah satu umpan tiruan pertama yang dicipta untuk memancing berhampiran permukaan air.
Pada mulanya, popper dihasilkan secara buatan tangan daripada kayu oleh pemancing yang bereksperimentasi dengan umpan permukaan. Matlamatnya adalah untuk meniru ikan kecil atau katak yang cuba melarikan diri, cedera atau bermain-main di permukaan air, terutamanya untuk memancing ikan bass.
Heddon dan Arbogast, dua pengeluar umpan terkemuka pada masa itu, merupakan pelopor dalam membangunkan dan mengkomersialkan popper di Amerika Syarikat pada tahun 1920an dan 1930an.
Dari tahun 1930an hingga 1950an, pengeluaran popper secara besar-besaran telah bermula, dan bahan baharu seperti plastik telah diperkenalkan. Jenama seperti Rebel, Hula Popper (oleh Fred Arbogast), dan Rapala memperhalusi reka bentuk popper mereka agar aerodinamik dan lebih tahan lasak.
Kini di era moden, popper mempunyai reka bentuk yang lebih canggih dengan bunyi gemerincing (rattle), kemasan holografik, dan corak realistik untuk menarik pelbagai spesies ikan.
Bagaimana popper berfungsi? Apabila pemancing menyentak (jerking) joran, bahagian mulut cengkung yang ada pada popper akan memindahkan air, menghasilkan bunyi ‘pop’ dan percikan. Gangguan permukaan ini meniru mangsa yang cedera, menarik ikan pemangsa seperti ikan bass, toman, tuna, dan GT (giant trevally). Ditambah lagi dengan daya tarikan visual seperti badan berwarna terang, berkilat, dan mata kail yang diikat dengan bulu menambah daya tarikan umpan tiruan ini.
Bahan tradisional bagi pembuatan popper adalah kayu, yang memberikan daya apungan dan aksi semula jadi. Namun kini, kebanyakannya diperbuat daripada plastik yang tahan lasak dan digunakan secara meluas dalam pengeluaran besar-besaran dengan reka bentuk yang rumit.
Biasanya popper menggunakan mata kail tiga (treble hook), kadangkala dengan bulu atau kertas berkilau diikat pada mata kail tersebut untuk tarikan tambahan. Namun begitu sesetengah popper dipasangkan dengan mata kail tunggal terutama popper yang digunakan untuk memburu spesies ikan besar sepert GT dan sebagainya.
Popper dapat diperolehi dalam pelbagai saiz. Dari kecil yang bersaiz 2-3 inci lebih lazim digunakan untuk untuk air tawar hinggalah yang bersaiz besar 8-10 inci untuk memburu pemangsa air masin.
Terdapat pelbagai jenis popper boleh didapati di pasaran, antaranya popper tradisional, popper chugger yang menghasilkan bunyi yang lebih dalam dan digunakan untuk spesies yang lebih besar; Prop popper yang mempunyai kipas kecil untuk menambahkan lagi aksi percikan dan getaran; Popper walk-the-dog iaitu gabungan popper dan stickbait yang mana pergerakan lebih kepada aksi zig-zag; serta popper khusus air masin di mana reka bentuknya lebih besar dan kukuh untuk spesies kuat seperti tuna dan GT.
Keadaan terbaik untuk menggunakan popper adalah di waktu awal pagi dan lewat petang ketika ikan aktif di permukaan. Keadaan cuaca mendung atau permukaan air sedikit berombak juga boleh meningkatkan keberkesanannya.
Melihat ikan menyerang umpan di permukaan menambahkan lagi keseronokan memancing sama ada bagi spesies air tawar atau masin. Pendek kata ia sesuai untuk pelbagai spesies ikan pemangsa serta mudah digunakan untuk pemancing daripada semua peringkat kemahiran.