Tuesday, December 3, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Populariti jambu batu lohan tarikan pelancong

    MELAKA – Jika Perlis terkenal dengan mangga harum manis, Melaka pula berbangga dengan jambu batu lohan varieti GU16 yang semakin popular dan mendapat tempat dalam kalangan penggemar buah segar di negeri ini.

    Bukan saja bersaiz gergasi, malah kerangupan, rasa manis dan kandungan airnya yang tinggi memberi nilai tambah kepada jambu batu lohan yang dijangka menjadi antara produk pilihan pelancong sempena Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024.

    Sehubungan itu, pengusaha jambu batu lohan Abdul Halim Abdullah, 47, berkata beliau telah memulakan persediaan seawal Jun lepas bagi memastikan kebunnya seluas empat hektar di Jalan Setulang Daeng, Bukit Rambai, di sini mampu memenuhi permintaan buah berkenaan yang dijangka meningkat menjelang TMM 2024.

    Beliau berkata secara purata kebunnya mampu menghasilkan 800 kilogram (kg) hingga 1.8 tan jambu batu lohan seminggu yang akan digredkan mengikut berat bermula 800 gram hingga 2kg bagi membolehkan pengguna memilih saiz buah dikehendaki.

    “Cuma untuk TMM2024 ini saya lebih tumpukan kepada pengeluaran buah premium iaitu gred A, tetapi dari segi harga kita akan cuba kekalkan pada harga biasa iaitu RM5 sekilogram,” katanya kepada Bernama.

    Jambu batu lohan yang diusahakan Abdul Halim Abdullah di kebunnya seluas empat hektar di Jalan Setulang Daeng, Bukit Rambai. – Gambar Bernama
    Abdul Halim Abdullah menunjukkan jambu batu yang ditanam di kebunnya. – Gambar Bernama

    Selain itu, beliau turut berusaha meningkatkan kualiti buah menerusi penjagaan yang lebih teliti dan sistem pengurusan kebun seperti membaja, membalut dan menggredkan buah dilakukan dengan lebih baik.

    “Sebagai pengusaha tunggal jambu batu varieti ini di Melaka, amat penting kualitinya dijaga. Bukan saja untuk TMM2024, tetapi juga pasaran biasa seperti di pasar borong serta dihantar ke luar Melaka seperti Pulau-Pinang, Kelantan dan Pahang.

    “Semua ini dilakukan dengan kerjasama FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan) yang telah membantu saya sejak dari hari pertama buah ini dipasarkan di pasaran terbuka,” katanya yang mengusahakan kebun tersebut sejak 2019 dengan mendapatkan benih jambu batu lohan dari Taiwan.

    Bekas kontraktor telekomunikasi itu berkata pokok jambu batu lohan yang mampu hidup hingga 25 tahun juga memberi kelebihan dalam memastikan pengeluaran buah berpanjangan.

    Katanya secara purata kebunnya menghasilkan kira-kira lima tan metrik jambu batu lohan gred A dengan nilai RM25,000, gred B sekitar empat tan dengan nilai RM14,000, manakala buah ‘reject’ sekitar satu peratus sebanyak tiga tan (RM7,500) setiap bulan.

    “Buah ini kita boleh ‘bentuk’ kitaran pengeluarannya dan penggiliran tersebut mampu memastikan buah tidak putus dan saiznya juga dapat dikawal. Ini secara tidak langsung memudahkan kita membuat anggaran berapa tan buah yang akan dihasilkan pada setiap kitaran,” katanya.

    Dibantu oleh lima pekerja, Abdul Halim berkata selain memasarkan melalui FAMA, beliau turut membuka kebunnya untuk dikunjungi penggemar buah tersebut sekali gus menyemarakkan konsep agropelancongan di kawasan itu.

    Setakat ini, beliau berkata kebunnya itu berjaya menarik ramai pengunjung termasuk dari Pahang dan Perak yang datang untuk melihat sendiri bagaimana buah tersebut diusahakan secara komersial. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda