PHNOM PENH, 13 APRIL – Burung hering, yang sering dipandang rendah, sebenarnya memainkan peranan penting dalam mencegah penyakit dan menjaga kebersihan ekosistem.
Namun, penurunan populasi burung ini semakin membimbangkan dan boleh memberi kesan buruk terhadap alam sekitar serta kesihatan manusia, menurut pakar pemuliharaan.
Burung hering bukanlah spesies yang hidup dalam kemewahan. Sejak sekian lama, burung ini dilabel secara negatif dianggap pembawa malapetaka dalam sesetengah budaya, malah digambarkan sebagai pemakan bangkai yang hina.
Namun, kini para pencinta alam dan penyelidik dilengkapi dengan data dan bukti saintifik menegaskan bahawa, burung hering adalah elemen penting dalam sistem ekologi global.
Chris Bowden, penasihat kepada entiti Saving Asia’s Vultures from Extinction (SAVE), berkata bahawa Asia Selatan dan Asia Tenggara suatu ketika dahulu merupakan habitat utama burung hering, namun jumlahnya telah merosot dengan mendadak sejak beberapa dekad lalu.
“Burung hering menyediakan perkhidmatan ekosistem yang amat penting. Dahulu, berjuta-juta tan bangkai dimakan oleh burung hering,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual dari pejabatnya di Bangalore, selatan India.
Burung yang berleher panjang dan tampak garang ini merayau di kawasan luar bandar untuk mencari bangkai haiwan, sekali gus bertindak sebagai penjaga alam semula jadi – membersihkan sisa yang tidak mampu diurus oleh spesies lain dan menyumbang kepada kelestarian biodiversiti. – Bernama
