Oleh Wan Muhammad Aslah Wan Razali
KUALA LUMPUR – Masa hadapan Harimau Malaya kini dilihat semakin terumbang-ambing susulan kerakusan pemburu haram yang terus memburu tanpa mengira natijahnya, walaupun sehingga menceroboh ke kawasan hutan simpan Belum-Temengor, dan berterusan menjejaskan kehidupan lain-lain hidupan liar di sana, termasuk yang menjadi sumber makanan buat harimau.
Dalam temubual Bernama dengan World Wildlife Fund (WWF) Malaysia, Ketua Lanskap Harimau Dr Mark Rayan Darmaraj berkata apa yang menyedihkan ialah ketika ini populasi harimau dalam negara semakin berkurangan sehingga jumlahnya kini tidak sampai 200 ekor.
Aktiviti pemburu haram yang didorong oleh permintaan tinggi untuk anggota badan harimau bagi tujuan perubatan tradisional Cina serta lain-lain kegunaan, turut menarik kehadiran para pemburu asing dari negara-negara seperti Vietnam, Thailand, dan Kemboja dalam negara.
Mereka memasang beribu-ribu perangkap seperti seperti perangkap berkawat, jauh di tengah hutan, menangkap harimau dan juga lain-lain haiwan liar yang ada.
Bergantung kepada berapa besar mangsanya, rusa kecil sebesar kijang (muntjac) boleh menjadi sekadar snek sahaja buat seekor harimau, jadi ia perlu memburu lagi dan memerlukan lebih banyak tenaga.

Seekor rusa dewasa membolehkan harimau itu berhenti berburu selama 10 hari, sebelum kembali mencari mangsanya.
Menurut Mark, harimau yang menjaga kawasan biasanya akan merayau dalam kawasannya di hutan, mencari makanan atau pasangan, namun jika tiada haiwan berkeliaran di kawasan itu, harimau itu tidak akan dapat hidup lama kerana tiada makanan di tempat itu.
Wujudkan pasukan peronda
Salah satu usaha yang dijalankan oleh WWF bagi menyelamatkan harimau adalah mewujudkan pasukan-pasukan peronda turut disertai orang asli di kawasan Belum-Temenggor, dan pasukan-pasukan ini akan mengambil giliran untuk meronda, memusnahkan perangkap yang ditinggalkan pemburu haram dan melaporkan kembali kepada WWF.
Baru-baru ini pencinta alam menyuarakan keterujaan mereka mengenai berita terbaru berhubung kesediaan pasukan polis membantu renjer Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), dalam menjalankan rondaan jauh di tengah hutan.
Polis Diraja Malaysia dilaporkan bersetuju untuk menghantar dua petugas Pasukan Gerakan Am (PGA) dari batalion Senoi Praaq bagi menjalankan rondaan di kawasan yang ditetapkan bagi menahan pemburu haram, terutama mereka yang memburu Harimau Malaya. – Bernama