WILLIAMSPORT, OHIO – Peluh membasahi muka Isaac Barnes di bawah tudung penternak lebahnya ketika dia mengangkut kotak-kotak indung madu dari sarang lebah ke traknya.
Ia bagaikan senaman dalam apa yang dirasakan seperti sauna ketika suhu meningkat pada lewat pagi bulan Jun.
Walaupun Barnes berasa panas, lebahnya lebih panas. Suhu badan serangga itu boleh mencecah sehingga 15 Celsius lebih tinggi daripada udara di sekelilingnya.
Ketika suhu global meningkat akibat perubahan iklim, saintis cuba memahami dengan lebih baik kesan ke atas lebah ternak dan liar semasa serangga itu mendebungakan tanaman, mengumpul nektar, menghasilkan madu dan membiak.
Mereka mendapati lebah terbang yang mengumpul nektar mengelak menjadi terlalu panas pada hari-hari yang paling panas dengan menggunakan pergerakan sayap yang kurang tetapi lebih kuat untuk mengekalkan suhu badan lebah di bawah paras berbahaya, menurut satu kajian yang diterbitkan tahun lepas.
Para saintis juga mengatakan lebah seperti manusia juga boleh mengatasi kepanasan dengan berundur ke persekitaran yang lebih sejuk seperti tempat teduh atau sarang.
“Sama seperti kita pergi ke tempat teduh, atau kita berpeluh atau kita mungkin bekerja kurang keras, lebah sebenarnya melakukan perkara yang sama supaya ia dapat mengelakkan kepanasan,” kata Jon Harrison, ahli fisiologi alam sekitar di Arizona State University dan salah seorang pengarang kajian.
Namun ini bermakna lebah tidak dapat melakukan apa yang biasa dilakukannya, kata Kevin McCluney, seorang profesor biologi di Bowling Green State University.
“Lebah tidak akan keluar dan mendapat lebih banyak nektar. Ia tidak mengawan. Ia tidak melakukan perkara yang akan dilakukan oleh lebah,” kata McCluney.
HABA HANYA SATU CABARAN UNTUK PENDEBUNGA KRITIKAL
Secara amnya, kebanyakan lebah boleh tahan panas, tetapi apabila iklim semakin panas, sesetengah pakar berpendapat keupayaan serangga itu untuk menangkis penyakit dan mengumpul makanan mungkin menjadi lebih sukar. Dan kehilangan habitat, peningkatan penggunaan racun perosak, penyakit dan kekurangan makanan untuk kedua-dua lebah ternak dan liar semuanya disenaraikan sebagai penyumbang berpotensi kepada penurunan populasi lebah dan pendebunga lain.
“Jika awda tidak cukup makan, dan badan awda dipenuhi racun perosak dan awda mempunyai banyak penyakit dalam tubuh badan awda, awda tidak mampu bertahan panas berbanding jika awda sihat,” kata Margarita Lopez-Uribe, pakar kesihatan pendebunga di Pennsylvania State University.
Awal tahun ini, keputusan awal daripada Tinjauan Pembiakan Lebah AS tahunan mendapati penternak lebah kehilangan hampir 56 peratus daripada koloni ternakannya, kerugian tertinggi sejak tinjauan bermula pada 2010.
Hampir semua koloni lebah madu yang diuruskan di Amerika Syarikat (AS) digunakan untuk pendebungaan tanaman pertanian seperti badam, epal, ceri dan beri biru.
Pendebunga yang kurang boleh membawa kepada kurang pendebungaan sekali gus berpotensi menjejas hasil keluaran.
“Ia adalah sistem yang sangat rapuh jika awda memikirkannya,” kata Lopez-Uribe. “Ini kerana sekiranya masalah timbul, awda mempunyai tanaman bernilai tinggi ini yang tidak akan mendapat cukup lebah untuk pendebungaan.”
KEHILANGAN SARANG DI LADANG HONEYRUN
Kembali ke sarang Barnes di Ohio, beribu-ribu lebah madu berterbangan ketika beliau mengumpul kotak untuk dibawa pulang ke ladangnya untuk penghasilan madu. Tidak jauh, beberapa ekor lebahnya hinggap di atas bunga rumpai susu, diversiti tumbuhan yang jarang ditemui di kawasan yang didominasi oleh ladang jagung dan kacang soya.
Bagi Barnes, yang mengendalikan Ladang Honeyrun bersama isterinya, Jayne, salah satu cabaran cuaca panas yang boleh ditimbulkan kepada 500 sarang lebah madunya adalah menghapus hama parasit yang mengancam lebah. Jika suhu menjadi terlalu panas, beliau tidak boleh menggunakan asid formik, bahan kimia organik yang membunuh hama. Jika ia digunakan semasa terlalu panas, lebah boleh mati.
Tahun lepas, mereka kehilangan hampir satu pertiga daripada 400 sarang yang dihantar mereka ke California untuk membantu pendebungaan pokok badam komersial. Barnes berpendapat sarang itu mungkin berada dalam keadaan yang teruk sebelum pendebungaan kerana mereka tidak dapat mencegah serangan hama ketika bulan panas lebih awal.
“Sarang lebah mati tidak mendebungakan pokok badam,” katanya. “Ia merupakan kesan riak sebenar yang berpunca daripada haba pada musim panas.”
Kadangkala cuaca panas membantu. Di sini, di Ohio, sarang Barnes pada musim panas lalu menghasilkan tanaman yang luar biasa banyak ketika haiwan itu menghisap madu kacang soya berhampiran ketika tumbuh-tumbuhan berkembang mekar dalam cuaca panas.
Namun, kekurangan tumbuhan pelbagai untuk lebah mencari makanan di kawasan yang didominasi oleh ladang jagung dan kacang soya adalah tidak ideal.
Malah bunga asli kelihatan berkembang mekar tidak menentu, kata Barnes. Pada musim luruh, lebahnya mencari makanan pada goldenrod, tetapi bunga itu berkembang kemudian.
Walaupun begitu, dia telah menambah sarangnya dengan makanan tambahan untuk memastikan ia sihat sehingga musim sejuk.
“Setiap tumbuhan yang mekar adalah sesuatu yang boleh digunakan oleh lebah. Dan setiap tumbuhan dipengaruhi oleh perubahan iklim,” ujar Barnes. – AP