AHMEDABAD, 21 MEI – Populasi singa Asia di India meningkat lebih sepertiga kepada 891 ekor, menurut bancian lima tahun sekali yang diumumkan hari ini, sekali gus memberi rangsangan kepada usaha pemuliharaan spesies yang terancam ini.
Singa Asia – yang dahulunya berkeliaran dari Timur Tengah hingga ke India – kini hanya tinggal sebagai satu populasi terpencil di sebuah kawasan perlindungan hidupan liar di negeri Gujarat, barat India.
“Populasi singa Asia, yang berjumlah 304 pada tahun 1995, telah meningkat secara berterusan sepanjang tiga dekad yang lalu,” kata Ketua Menteri Gujarat, Bhupendra Patel kepada wartawan. “Pada tahun 2020, jumlahnya ialah 674 dan kini telah meningkat kepada 891.”
Singa besar ini lebih kecil berbanding sepupu mereka di Afrika, dan mempunyai lipatan kulit di sepanjang perut.
Aktiviti pemburuan dan pencerobohan manusia menyebabkan populasi haiwan ini merosot kepada hanya 20 ekor pada tahun 1913. Kini, singa-singa tersebut hanya ditemui di kawasan perlindungan hidupan liar Gir di Gujarat yang luas, di mana ia hidup di dalam hutan luruh kering dan padang rumput terbuka.
Usaha berterusan kerajaan selama bertahun-tahun menyaksikan populasi singa berkenaan semakin meningkat. – AFP
