Friday, February 28, 2025
31.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Populasi ternakan menurun, Raja Maghribi saran tidak korbankan kambing

    RABAT, 27 FEB – Raja Maghribi menyeru rakyatnya untuk tidak mengorbankan kambing atau biri-biri semasa perayaan agama pada akhir tahun ini berikutan kemarau yang telah menyebabkan penurunan populasi ternakan secara drastik dan peningkatan harga daging.

    Setiap tahun, berjuta-juta kambing, biri-biri, dan ternakan lain dikorbankan di seluruh dunia Islam sempena Aidiladha, salah satu daripada dua perayaan utama Islam yang dijangka disambut pada bulan Jun tahun ini.

    Namun, Maghribi kini mengalami tahun ketujuh berturut-turut dilanda kemarau, menyebabkan jumlah ternakan menurun sebanyak 38 peratus dalam tempoh 12 bulan.
    Menurut Kementerian Pertanian, kadar taburan hujan adalah 53 peratus lebih rendah berbanding purata dalam tempoh 30 tahun terakhir.

    Gambar fail AP

    “Negara kita sedang menghadapi cabaran iklim dan ekonomi yang telah menyebabkan penurunan ketara dalam jumlah ternakan,” titah Raja Mohammed VI dalam satu ucapan yang dibacakan oleh Menteri Hal Ehwal Agama di televisyen nasional semalam.

    Walaupun mengakui kepentingan perayaan Aidiladha, Baginda menyeru rakyatnya “untuk tidak melaksanakan ibadah korban”.

    Aidiladha memperingati kesediaan Nabi Ibrahim untuk mengorbankan anaknya sebagai tanda kepatuhan kepada Tuhan.

    Bapa Raja Mohammed VI, Hassan II, pernah membuat seruan yang sama pada tahun 1966 ketika negara turut mengalami kemarau yang berpanjangan.

    Penurunan jumlah ternakan telah menyebabkan lonjakan harga daging, menambah beban kepada golongan miskin yang menerima gaji minimum sekitar 290 euro sebulan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda