BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Feb – Porsche AG telah membuat keputusan untuk mengukuhkan keberadaannya di Taiwan dengan menubuhkan satu usaha sama dengan rakan kongsi perniagaan lamanya, Universal Motor Traders (UMT) dalam usaha untuk terus mengembangkan operasi-operasinya dengan pertubuhan pengimportnya sendiri.
Anak syarikat terbaru Porsche AG, Porsche Taiwan Ltd dijangka akan dirasmikan dalam tahun 2018 di mana Martin Limpert telah dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif baru.
Ahli Lembaga Eksekutif bagi Jualan dan Pemasaran Porsche AG, Detlev von Platen dipetik sebagai berkata, “Semenjak 10 tahun lepas, Porsche di Taiwan dengan UMT sebagai rakan kongsi dipercayai mengembangkan jumlah jualan daripada kira-kira 200 kereta meningkat sehingga lebih 3,000 kereta setahun. Ini menunjukkan kejayaan luar biasa Porsche di Taiwan dan potensi besar yang kita lihat dalam pasaran ini. Asas sesuatu usaha sama adalah langkah logik seterusnya dalam mengembangkan lagi keberadaan kami.”
Jualan di rantau Asia, Afrika dan Timur Tengah telah berkembang buat Porsche di mana dalam tahun 2016, lebih daripada 90,000 kereta telah dihantar kepada para pelanggan yang menunjukkan satu peningkatan 6 peratus berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Pengerusi Universal Pan German Organization, James Tang menyatakan, “Dalam tahun 1972, UMT dan Porsche telah secara rasmi menandatangani perjanjian kerjasama, yang menandakan lembaran baru kegemilangan Porsche di Taiwan. Apabila UMT memulakan penjualan Porsche di Taiwan, barisan produk tidak begitu meluas seperti ketika ini. UMT telah berusaha untuk membina jenama Porsche di Taiwan selama 45 tahun. Pada masa ini, kami telah menubuhkan empat pusat Porsche di Taipei, Taoyuan, Taichung dan Kaohsiung, dan rancangan kami adalah untuk terus mengembangkan pengedar kami.”
James Tang menambah, “Tahun lepas, jualan kereta baru UMT telah mencecah 3,356, mengekalkan status sebagai pengimport bebas terbesar Porsche di dunia, memenangi penghormatan itu dalam tiga tahun berturut-turut. Dengan pertumbuhan dalam jualan, UMT juga telah memfokuskan dalam meningkatkan kepuasan pelanggan bagi memastikan pengalaman terbaik pelanggan.
“Pasukan UMT Porsche ketika ini mempunyai lebih kurang 500 kakitangan bertanggungjawab bagi jualan kereta baru dan perkhidmatan selepas jualan. Selama bertahun-tahun, Pasukan Porsche UMT telah sentiasa mengekalkan sikap yang paling profesional dan mendedikasikan semua yang kami mampu untuk menyediakan perkhidmatan kualiti terbaik kepada pelanggan-pelanggan Porsche. Ini adalah aset teras terbaik syarikat kami. UMT dan Porsche kini menjalinkan usaha sama untuk mengembangkan lagi operasi dan pasaran Porsche di Taiwan.”