Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OKT – Porsche Brunei telah melancarkan tawaran pemeriksaan kenderaan percuma sebagai sebahagian daripada kempen Porsche Approved Warranty baharu, minggu lalu.
Ia bertujuan untuk memastikan pemilik Porsche di negara ini menikmati ketenangan fikiran tambahan apabila memiliki salah sebuah kereta sport mereka, selain nilai yang dipertingkatkan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, dengan Porsche Approved Warranty, pelanggan boleh mengharapkan penjagaan kenderaan selepas jualan yang komprehensif, dengan syarat perlindungan lanjutan dan pembaikan profesional yang dijalankan oleh juruteknik Porsche bertauliah dengan hanya menggunakan alat ganti tulen untuk mengekalkan umur panjang dan meningkatkan nilai.
Tawaran pemeriksaan percuma itu, bermula 3 Oktober lalu hingga lewat Oktober ini, merangkumi pemeriksaan khusus untuk setiap model Porsche dan menjana laporan komprehensif yang menasihati pemilik tentang keadaan kenderaan mereka, selain memberitahu tentang alat-alat ganti haus dan lusuhyang perlu ditukar segera.
Bercakap mengenai pelancaran kempen baharu tersebut, Pengurus Besar Porsche Brunei, Lahiru De Silva berkata, “Dengan pemeriksaan kenderaan percuma yang menarik ini, kami dapat menjamin prestasi konsisten kenderaan Porsche sehingga 15 tahun, memberikan jaminan tiada tandingan kepada pelanggan dan ketenangan fikiran yang berpanjangan, satu lagi contoh komitmen dan janji kami yang tidak berbelah bahagi dalam kualiti,” jelasnya.
Sebagai tambahan kepada faedah yang diberikan kepada pemilik yang dilindungi oleh Porsche Approved Warranty, pelanggan di Brunei juga boleh mendapatkan fleksibiliti tambahan apabila menentukan terma pilihan mereka.


