STUTTGART, 29 MAC – Dengan menekankan komitmennya terhadap Kejohanan Dunia Formula E ABB FIA dan falsafahnya untuk menetapkan asas untuk penyelesaian pergerakan masa depan menerusi pembangunan kenderaan perlumbaan elektrik, Porsche akan melakar era baharu dengan kereta lumba berevolusi Gen3 apabila Kejohanan Dunia Formula E ABB FIA dilancarkan untuk musim 2022/2023.
Menerusi satu kenyataan yang diterima hari ini, Naib Presiden Porsche Motorsport dan Naib Presiden Senior Group Motorsport Volkswagen AG, Fritz Enzinger berkata, “Generasi kereta lumba baharu Gen3 membuka bab seterusnya dalam kejayaan Formula E. Dan kami mahu menjadi sebahagian daripada kejayaan tersebut.
“Dengan penyertaan kami pada 2019, kami membuat komitmen yang jelas kepada Formula E. Ia menawarkan persekitaran paling kompetitif untuk membangunkan kenderaan prestasi tinggi dengan tumpuan pada ciri-ciri mesra ekologi, kecekapan tenaga dan kemampanan.
Sementara itu, Presiden FIA, Jean Todt berkata, “Satu lagi mercu tanda untuk Kejohanan Dunia Formula E ABB FIA, saya berasa gembira Porsche amat komited untuk era seterusnya. “Lebih ringan, lebih berkuasa, dengan pengecas lebih cepat, kereta lumba Gen3 akan menetapkan disiplin sebagai mercu tanda perlumbaan elektrik. Ia juga pengesahan bahawa Formula E adalah platform betul untuk mempromosi kepakaran pengeluar dalam pengelektrikan dan membuktikan komitmen bersama kami untuk penyelesaian mobiliti lebih mampan.
“Kami gembira Porsche komited dengan perkongsian jangka panjang bersama Formula E,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Formula E, Jamie Reigle. “Kehadiran Porsche dalam Formula E adalah besar dan mereka telah membuktikan bahawa mereka akan menjadi pemacu dalam pembangunan kami. Kami tidak sabar-sabar untuk bekerjasama dengan Kejohanan Dunia Formula ABB FIA mengenai Gen3 untuk teknologi kenderaan elektrik generasi akan datang.”
Menurut kenyataan lagi, kereta lumba Gen3 merupakan satu peristiwa penting dalam evolusi Kejohanan Dunia Formula E. Ia mempunyai kelebihan dari segi prestasi dan keberkesanan serta kawalan kos keseluruhan yang lebih baik. Prestasi telah meningkat berbanding kereta Gen2 musim ini. Kereta itu memaparkan sistem brek elektrik pacuan semua roda, dengan tenaga boleh dipulihkan secara lebih efisien, sehingga 600 kW dalam semua kereta.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2021/03/PAGE-14-Lead-Porsche_30032021.jpg)