Wednesday, October 30, 2024
29 C
Brunei

    Berita Terkini

    Porsche pertimbang beli saham Varta

    FRANKFURT, 22 JULAI – Porsche berkata hari ini mereka sedang mempertimbangkan untuk membeli saham dalam syarikat pembuat bateri yang bermasalah, Varta, untuk membantu syarikat itu mengelak daripada jatuh muflis dan mengekalkan ‘teknologi penting di Jerman’.

    Pembuat kereta mewah Jerman itu sebelum ini telah mempertimbangkan untuk memegang saham majoriti dalam unit mobiliti elektrik Varta yang menghasilkan sel bateri litium-ion.

    Namun, selepas Varta pada Ahad lalu menyatakan ia sedang mencari penyelesaian untuk menyusun semula hutangnya bagi ‘mengelakkan kemungkinan tak mampu bayar’, Porsche AG berkata ia sedang mempertimbangkan penyertaan yang lebih besar.

    Perbincangan masih diteruskan, tambahnya. Varta dalam kenyataannya sendiri menyatakan ia sedang menimbang pelbagai pilihan penyusunan semula dengan pemiutang dan pelabur berpotensi, termasuk Porsche dan pihak lain.

    Ia berkata Varta memerlukan suntikan dana ‘bernilai puluhan juta euro’ untuk terus bertahan.

    Penyusunan semula itu juga akan melibatkan pengurangan hutang dan penyahsenaraian syarikat, yang akan meninggalkan pemegang saham tanpa sebarang faedah. Saham Varta merosot selepas berita tersebut pada pagi tadi.

    Varta telah terjejas teruk oleh kenaikan harga bahan dan tenaga, peningkatan persaingan dan serangan siber yang mengganggu pengeluaran awal tahun ini, kata penganalisis.

    Kekacauan itu berlaku ketika industri kereta melabur besar-besaran dalam peralihan kepada kenderaan elektrik apabila negara-negara mengetatkan peraturan untuk memenuhi sasaran pengurangan karbon.

    Porsche menjangka 80 peratus daripada penyerahan kereta baharunya adalah model elektrik sepenuhnya menjelang 2030. – AFP

    Gambar menunjukkan pusat pelanggan di kilang pembuat kereta mewah Porsche di Leipzig, timur Jerman, pada 11 Mac. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda