Gambar serahan Porsche Centre Brunei
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 MAC – Porsche telah mengalu-alukan tahun baharu dengan pembukaan Porsche Studio Hanoi baharu, melanjutkan lagi pengembangannya di Vietnam, salah satu pasaran paling pantas berkembang bagi jenama berkenaan di Asia Tenggara.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Porsche Centre Brunei, Porsche Studio berkenaan adalah yang pertama bagi negara itu dan salah satu yang pertama di dunia yang menampilkan konsep rekaan terkini jenama itu.
Diramal bakal merekodkan salah satu kadar pertumbuhan KDNK tertinggi di Asia Pasifik tahun ini, Vietnam juga mempunyai salah satu demografi pelanggan paling muda dalam dunia Porsche.
Dalam usaha berhubung secara langsung dengan pelanggan muda di pusat ibu negara Vietnam, Hanoi, Porsche Studio bersedia untuk meningkatkan pengalaman jenama bagi pemilik Porsche generasi seterusnya.
Terletak di Capital Place, kawasan pembangunan baharu di metropolis Vietnam, Porsche Studio Hanoi menawarkan ruang yang menggalakkan hubungan antara mereka yang bercita-cita tinggi seperti Porsche dan berkongsi penghargaan bagi ketukangan, warisan dan nilai-nilai jenama berkenaan.
Kenyataan menyatakan, dengan rekaan Porsche Studio baharu itu, Porsche menyesuaikan konsep runcitnya iaitu ‘Destination Porsche’ bagi lokasi-lokasi bandar.
Studio berkenaan memberikan suasana kontemporari, seperti butik dengan fokus gaya hidup.
Di samping itu, studio berkenaan juga mempunyai ruang khas bagi pameran karya seni dan kreatif oleh artis-artis tempatan yang menggambarkan semangat inovatif dan komitmen syarikat kepada kemapanan. Ia juga berfungsi sebagai platform bagi acara-acara yang berubah.
Destinasi baharu itu juga menyediakan kawasan berasingan bagi konfigurasi dan pembelian kereta-kereta sport Porsche, di mana pelanggan boleh mendapatkan nasihat tanpa gangguan dan dalam suasana persendirian.

