KUALA LUMPUR, 14 MAC – Peminat bola sepak Malaysia tidak senang duduk selepas hantaran Instagram kelab dari Portugal, Portimonense S.C, mendakwa pemain tengahnya, Hector Hevel, terpilih menyertai skuad Harimau Malaya.
Hantaran itu menyifatkan Hevel yang merupakan pemain kelahiran Belanda bersama rakan sepasukannya, Tamble Monteiro dan Kristofer Kait, sebagai pemain kebanggaan kelab itu selepas terpilih untuk mewakili negara masing-masing.
Pada masa sama, pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail, turut memuat naik hantaran di Instagram Story memaparkan gambar perbincangan melibatkan baginda dan gambar ketua jurulatih kebangsaan, Peter Cklamovski, dan seorang pemain dipercayai Hevel.
Dalam gambar itu, Cklamovski dan pemain berkenaan yang berpakaian baju melayu, memegang jersi skuad Harimau Malaya.
Pada sidang media sempena pengumuman senarai 27 pemain yang akan menggalas tugas bagi aksi Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal 25 Mac ini, Cklamovski mengesahkan tiga pemain warisan baharu dijangka tiba minggu hadapan dengan proses pendaftaran pemain berada pada fasa terakhir.
Sebelum ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sedang menunggu lampu hijau daripada Kerajaan Malaysia untuk mendapatkan kerakyatan bagi empat pemain warisan baharu Harimau Malaya. – Bernama
