Oleh Pehin Kolonel (B) Dato Paduka Haji Abdul Jalil bin Haji Ahmad
TERINGAT penulis kepada Portland Bill, Dorset, England, iaitu setelah penulis selesai menghadiri Kursus International Sub Lieutenant di Britannia Royal Naval College, Dartmouth pada bulan September 1975, di mana penulis telah ditempatkan bertugas di 1st Fast Training Boat Squadron, Tentera Laut Diraja British di Portland, England selama tiga bulan.
1st Fast Training Boat Squadron ini mengandungi tiga buah Kapal Peronda Laju (Fast Patrol Boat) iaitu Her Majesty’s Ship (HMS) Sabre, HMS Scimitar dan HMS Cutlass. Kapal-kapal ini seakan-akan sama dengan Kapal Diraja Brunei (KDB) Pahlawan, kecuali kapal-kapal 1st Fast Training Boat ini mempunyai dua buah jentera ‘turbin,’ manakala KDB Pahlawan, Angkatan Laut Pertama Askar Melayu Diraja Brunei mempunyai tiga buah ‘turbin gas.’
Portland terletak berdekatan dengan pelabuhan Weymouth di Dorset County iaitu sebelah Pantai Selatan Barat England. Semasa berada di Portland, penulis ditempatkan di Wardroom (Mes Pegawai) HMS Osprey. HMS Osprey terletak di atas bukit yang tinggi di mana panaroma dari Mes Pegawai ini sangat menakjubkan mata memandang, lebih-lebih lagi apabila kita melihat ke arah Lautan Atlantik. Penulis berada di Portland selama tiga bulan dan merupakan satu-satunya Pegawai Angkatan Laut asing berada di sana kerana yang lainnya adalah terdiri daripada pegawai-pegawai Inggeris dan negara-negara pakatan North Atlantic Treaty Organisation (NATO).
Semasa berada di kapal-kapal peronda, juga tempat penulis menjalani latihan, hanya penulis seorang sahaja yang berbangsa asing, manakala yang lain rata-ratanya terdiri daripada pegawai-pegawai dan Peringkat Rendah berbangsa Inggeris dari Tentera Laut Diraja British. Kadang-kadang penulis terasa sunyi juga semasa berada di rantau ini, sambil harus menyesuaikan diri di rantau orang, yang mana satu hal yang tidak mudah untuk dilakukan.
Apabila bersama mereka, penulis merasa sangat asing dari segi budi bicara mereka. Walau bagaimanapun, penulis harus juga menempuhi tugas bersama mereka di kapal peronda Tentera Laut Diraja British, begitu juga makan dan minum bersama mereka. Mahu tidak mahu, terpaksa juga ikut rentak dan irama mereka. Tiga bulan bertugas bersama dengan anak buah kapal Tentera Laut Diraja British adalah cukup lama untuk mengenali diri mereka dengan sangat mendalam.
Tugas utama 1st Fast Training Boat Squadron ini ialah untuk menjadi musuh kepada kapal-kapal perang Inggeris dan pakatan NATO yang sedang menjalani pemeriksaan ‘Basic Operational Check’ di Portland. Pada waktu yang ditetapkan, selalunya pada pukul empat atau lima subuh, kami akan mula melancarkan serangan dengan tembakan peluru berpandu dan torpedo ke kapal-kapal perang yang sedang menjalani ujian di laut. Cuba bayangkan berada di laut pada subuh hari di dalam kapal peronda semasa musim sejuk, dengan mengharungi pukulan ombak yang begitu kuat, peluh sejuk sudah pasti akan keluar dengan perlahan-lahan.
Di Portland ini juga terletaknya Markas Flag Officer Sea Training (FOST 2 Star Admiral). Sekarang ini Flag Officer Sea Training telah pun berpindah ke HMS Drake di Plymouth, sementara HMS Osprey telah pun ditutup sepenuhnya pada tahun 1999.
Selama tiga bulan bertugas di kapal-kapal peronda laju 1st Fast Training Boat Squadron, penulis telah banyak menimba ilmu pengetahuan dan pengalaman, lebih-lebih lagi di dalam gerakan-gerakan dan taktik peperangan yang melibatkan ‘Fast Patrol Boats.’ Bukan itu sahaja, penulis juga dapat mempelajari pengalaman daripada para pegawai dan anak-anak buah kapal peronda HMS Sabre, HMS Scimitar dan HMS Cutlass.
Di samping itu juga, penulis berpeluang berkenalan dengan pegawai-pegawai dan Peringkat Rendah Tentera Laut Diraja British dengan lebih mendalam lagi, terutamanya mempelajari adat resam dan budaya orang-orang Inggeris.



