Khamis, November 20, 2025
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Portrait of Elisabeth Lederer’ karya seni moden termahal dilelong

    NEW YORK, 19 NOV – Sebuah lukisan hasil karya pelukis Austria, Gustav Klimt dilelong pada harga AS$236.4 juta, sekali gus menjadikannya karya seni moden paling bernilai pernah dijual pada acara lelongan, menurut Sotheby’s, lapor agensi berita Jerman, dpa.

    ‘Portrait of Elisabeth Lederer’ kini menjadi karya seni kedua termahal pernah dijual dalam sejarah lelongan dunia, serta karya paling mahal yang pernah dilelong dalam sejarah pusat lelong berkenaan.

    Dihasilkan antara 1914 dan 1916, lukisan itu menggambarkan anak perempuan pasangan usahawan yang sering menyokong Klimt sepanjang kariernya.

    Proses bidaan berlangsung selama 20 minit dengan penyertaan ramai pembida, namun identiti pembeli yang berjaya memperoleh karya itu tidak didedahkan.

    Karya seni paling mahal dalam sejarah lelongan kekal milik ‘Salvator Mundi,’ yang dikaitkan dengan Leonardo da Vinci (1452–1519), dijual pada 2017 di New York pada harga AS$450.3 juta.

    ‘Portrait of Elisabeth Lederer’ kini me-ngatasi potret pelakon Marilyn Monroe (1926–62) oleh seniman Amerika Syarikat, Andy Warhol (1928–87), dilelong pada musim bunga 2022 dengan harga sekitar AS$195 juta dan kini berada di tempat ketiga dalam senarai.

    Klimt merupakan antara tokoh terpenting dalam gerakan Seni Nouveau Vienna.

    Rekod tertinggi bagi karya Klimt sebelum ini ialah AS$108.8 juta, yang diperoleh dalam lelongan di London pada 2023.

    Lukisan berkenaan merupakan sebahagian daripada koleksi hartawan Leonard Lauder, yang meninggal dunia pada Jun lalu. – Bernama

    ‘Portrait of Elisabeth Lederer’ karya Gustav Klimt dipamerkan di Siri Jualan Marquee Sotheby’s di New York pada 8 November. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda