LISBON, 30 JULAI – Pasukan bomba berjaya mengawal sebahagian daripada puluhan kebakaran hutan yang sedang melanda Portugal hari ini, walaupun kebimbangan meningkat bahawa keadaan cuaca mungkin memburukkan lagi keadaan.
Sekitar 1,500 anggota bomba telah dikerahkan ke empat kebakaran utama di utara dan tengah negara itu, manakala ratusan lagi ditugaskan mengawal kebakaran yang menurut agensi perlindungan awam dalam buletin terbaharu, berada dalam ‘proses penyelesaian dan tidak berisiko merebak’.
Satu kebakaran yang bermula di Taman Negara Peneda-Geres berhampiran Ponte da Barca di utara Portugal pada malam Sabtu lalu masih belum dapat dipadamkan sepenuhnya.
Sementara itu, satu lagi kebakaran di kawasan tengah berhampiran Arouca, yang tercetus pada petang Isnin, memerlukan tumpuan sumber terbesar dengan 750 anggota bomba dan 260 kenderaan digerakkan ke lokasi.
Penduduk sebuah kampung utara berhampiran Melres pula mengalami malam yang mencemaskan apabila api menghampiri kawasan penempatan mereka.
“Ia sangat mengerikan,” kata Maria Da Conceicao, 64, kepada AFP. “Tahun lepas sebelah sana sudah terbakar dan sekarang di sini pula.”
Beberapa kebakaran lain berhampiran Santarem, Penamacor dan Nisa, yang terletak di tengah negara, telah diisytihar terkawal sepanjang malam, menurut Pihak Berkuasa Perlindungan Awam Kebangsaan. – AFP










