PEDROGAO GRANDE, Portugal – Joaquim Godinho dan isterinya Edite kelihatan sedih dan berat hati apabila sebuah jentolak merobohkan sisa-sisa hangus di tempat kediaman mereka yang hampir 30 tahun itu.
“Rumah ini melambangkan usaha kerja sepanjang hayat, usaha perjuangan pagi dan malam,” kata Joaquim Godinho, yang mendirikan rumah itu dengan usahanya diri sendiri.
Selepas kebakaran paling dahsyat pernah terjadi dalam sejarah Portugal yang memusnahkan kawasan tengah Pedrogao Grande, penduduk di sana pada masa ini berhadapan dengan tugasan besar iaitu untuk memulakan kehidupan semula. Apabila kebakaran meletus pada bulan Julai 2017, ia berlaku dengan cepat dari kawasan bukit yang menghadap perkampungan Vale da Nogueira. Godinho berusia 54 tahun cuba untuk menyelamatkan harta-bendanya namun usaha yang dilakukannya itu adalah sia-sia.
“Ia adalah mustahil, dan saya hampir-hampir terperangkap di sana,” kata pemandu trak yang menganggur sambil menunjukkan luka di tangan dan mukanya yang disebabkan oleh kebakaran itu.
“Kami perlu bermula dari awal lagi dan maju ke hadapan…namun ia sangat sukar. Kami kehilangan segala-galanya,” kata Edite berusia 53 tahun, yang bertanggungjawab terhadap ladang keluarga pasangan itu.
Lebih daripada 1,200 petugas pemadam kebakaran berusaha selama lima hari untuk memadamkan api yang telah membakar lebih daripada 50,000 hektar (123,500 ekar) dan menyebabkan kerosakan yang bernilai kira-kira 200 juta euro (AS$238 juta). Kebakaran tersebut telah meragut 64 orang dan mencederakan 250 orang yang lainnya.
Sejumlah 460 buah rumah dalam kawasan tersebut mengalami kerosakan dalam kebakaran itu, termasuk 84 buah yang langsung tidak dapat diperbaiki lagi. Landskap yang musnah mengelilingi Vale da Nogueira telah berubah sedikit akibat daripada kebakaran tersebut, namun pakis dan pucuk eucalyptus telah menambahkan suasana hijau kepada bukit kelabu yang dipenuhi dengan pokok yang terbakar itu.
Udaranya dipenuhi dengungan gergaji dan deram-derum trak ketika penduduk tempatan bergegas untuk menjual kayu yang menghitam sebelum ianya tidak bernilai lagi. Akan tetapi, walaupun gelombang perpaduan yang menyebabkan rakyat Portugal untuk menderma sekitar 10 juta euro untuk tujuan tersebut, pembinaan semula projek yang mana masih dibantu oleh sukarelawan adalah terlalu sedikit.
Keluarga Godinho bersama dengan anak lelakinya yang berusia 24 tahun ini akan menjadi antara yang pertama untuk berpindah masuk ke dalam salah satu daripada dua buah rumah percuma yang telah didirikan oleh sekumpulan syarikat pembinaan Portugis.
“Sekurang-kurangnya kami akan mempunyai bumbung di atas kepala kami, tapi ia akan menjadi lebih kecil berbanding sebelum ini,” kata Edite.
Renjer hutan Vitor Neves yang berusia 58 tahun ini kehilangan pasangan dan seorang saudaranya di dalam kebakaran tersebut selepas mereka terperangkap di dalam kereta dalam percubaan untuk melarikan diri dari kampung mereka di Pobrais. Dia mengatakan bahawa dia masih dalam keadaan ‘terkejut’ sama seperti ketika selepas tragedi itu berlaku. Dia juga menuduh pihak berkuasa perlindungan Portugis mempunyai ‘anggaran yang teruk’ mengenai berapa lama masa yang diperlukan untuk api tersebut menyebar ketika ia bermula.
Sekarang dia sibuk memotong pokok buah-buahan di kampung Vila Facaia, Neves juga berkata bahawa dia kecewa dengan berapa lama masa yang diambil oleh bantuan awam untuk sampai ke rantau ini. Mengenai sebab-sebab kebakaran yang menyerang Portugal pada setiap musim panas, Neves tidak teragak-agak untuk menunjukkan jari pada ‘demam eucalyptus’.
Kayu eucalyptus adalah material mentah yang digunakan oleh industri kertas dan ia telah menjadi pokok yang biasa di dalam negara – tetapi ia mudah terbakar.
Setelah kebakaran itu, ia menimbulkan persoalan mengenai dasar pengurusan hutan. Parlimen Portugal telah mengambil satu undang-undang yang baru pada bulan Julai lalu iaitu untuk mengurangkan bilangan dusun eucalyptus di negara tersebut.
Kebakaran hutan semasa musim panas adalah menjadi perkara biasa yang semakin meningkat di Portugal, dengan 214,000 hektar tumbuhan-tumbuhan telah musnah setakat ini dalam tahun 2017, lebih tiga kali ganda purata sejak satu dekad yang lalu menurut Institut Pemuliharaan Alam dan Hutan Portugal.
Penduduk kampung kecil Ferraria de Sao Joao telah membuat keputusan untuk menangani hal ini sendiri.
Apabila kebakaran yang berlaku pada bulan Jun itu sampai ke perkampungan mereka yang dikelilingi oleh pokok eucalyptus, rumah batu mereka dikelilingi oleh api kecuali mereka yang berhampiran dengan pokok cork oak yang berusia 200 tahun.
Jadi, 38 orang penduduk kampung tersebut pun mula memotong pokok eucalyptus di sekitar kampung. Ia digantikan dengan pokok yang tidak mudah terbakar.
“Ia mengambil contoh konkrit ini untuk menyakinkan pemilik rumah untuk memotong pokok eucalyptus yang telah mereka tanam di hujung kampung untuk sumber pendapatan tambahan,” kata Pedro Pedrosa seorang usahawan ekopelancongan tempatan.
Namun Pedrosa, 46 tahun, mengatakan bahawa dia kurang berharap inisiatif tersebut akan diikuti di seluruh negara.
“Kebakaran tersebut menyebabkan trauma,” katanya. “Tetapi semakin masa berlalu, semakin kurang orang yang membuat perubahan.” – AFP