BRAGA, 29 Mei – Penyerang AC Milan, Andre Silva menjaringkan gol ke-1000 buat tuan rumah, yang beraksi tanpa Cristiano Ronaldo, namun ia tidak membawa sebarang makna apabila terikat seri 2-2 dengan Tunisia pada aksi persahabatan Piala Dunia, semalam.
Selepas tewas 3-0 kepada Belanda di Geneva pada Mac lalu, penyokong Portugal mengharapkan kemenangan dalam tempoh kurang dua minggu sebelum berkunjung ke Rusia.
Namun, juara bertahan Eropah itu, yang akan menentang Sepanyol, Maghribi dan Iran dalam Kumpulan B gagal memberikan impak yang diharapkan.
Kemunculan Ronaldo dan jaringan berbisanya pastinya dinantikan di Braga, namun penyerang Portugal itu diberi cuti berikutan kemenangan Real Madrid 3-1 ke atas Liverpool dalam final Liga Juara-juara Sabtu lalu.
Jurulatih Portugal, Fernando Santos memberi peluang kepada Silva, meskipun kurang beraksi di Milan, pemain berusia 22 tahun itu telah menjaringkan gol pembukaan menerusi hantaran Ricardo Quaresma pada minit ke-22. Ia adalah gol ke-1000 buat Portugal.

Portugal menggandakan jaringan mereka pada minit ke-34 apabila Joao Mario yang turut berdepan musim yang sukar di Itali bersama Inter Milan dan dipinjamkan ke West Ham, merebut bola daripada sepakan sudut untuk meledakkan gol ke gawang.
Meskipun mempamerkan aksi fizikal sepanjang perlawanan, Tunisia ternyata mempunyai kekurangan daripada aspek teknik dan keupayaan untuk melakukan serangan.
Namun, ketika Raphael Guerreiro melakukan kesilapan, penyerang Esperance, Anice Badri dengan pantas merebut peluang itu sebelum tamat separuh masa pertama.
Portugal terus cuba untuk mendominasi selepas percubaan Bernardo Silva tersasar buat pasukan tuan rumah menerima padah akibat pertahanan yang lemah setelah Ben Youseef menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-64.
Portugal mungkin akan beraksi tanpa Ronaldo lagi apabila mereka berdepan Belgium di Brussels pada 2 Jun dan Algeria di Lisbon, 7 Jun depan. – AFP