SAINT PETERSBURG, 25 Jun – Cristiano Ronaldo melahirkan rasa kegembiraan setelah membantu Portugal mara ke peringkat separuh akhir Piala Konfederasi selepas menjaringkan gol ke-75 di pentas antarabangsa ketika menewaskan New Zealand 4-0.
“Saya sangat gembira kerana berjaya ke separuh akhir. Kami sangat yakin dan mahu memenanginya,” kata Ronaldo yang turut dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan buat kali ketiga berturut-turut di kejohanan yang berlangsung di Rusia itu.
Pemain berusia 32 tahun itu akan dibicarakan di Mahkamah Madrid bulan depan atas dakwaan penipuan cukai oleh pihak berkuasa Sepanyol sehingga menyaksikan tercetusnya spekulasi dia mahu meninggalkan Real Madrid.
Di sebalik kontroversi di luar padang dan spekulasi mengenai masa depannya, kapten Portugal itu tetap kekal fokus serta mempamerkan aksi menakjubkan dengan meledak dua gol dalam tiga perlawanan.
Ronaldo menyempurnakan penalti pada minit ke-33 bagi meletakkan juara Euro 2016 itu di depan di Saint Petersburg sebelum Bernardo Silva meledak gol kedua empat minit kemudian.

Andre Silva menjaringkan gol ketiga pada minit ke-80 sebelum Nani melengkapkan kemenangan pasukan dengan jaringan keempat sekali gus memastikan Portugal menamatkan saingan kumpulan di depan Mexico menerusi perbezaan gol.
“Saya fikir kami bermain dengan baik dalam sebahagian perlawanan ini, sebahagian lagi tidak baik. Secara keseluruhannya ia adalah kemenangan yang adil,” kata jurulatih Portugal, Fernando Santos.
Jaringan Ronaldo menyaksikan dia menyamai rekod legenda Hungary, Sandor Kocsis dan ketinggalan sembilan gol sebagai penjaring terbanyak Eropah yang menjadi milik Ferenc Puskas dengan 84 gol.
Selepas menewaskan New Zealand, Portugal mara sebagai juara Kumpulan A dan akan berdepan naib juara Kumpulan B – sama ada Jerman atau Chile, Rabu ini di Kazan bagi menempah tempat ke peringkat akhir pada 2 Julai.
Mexico menewaskan pasukan hos Rusia dengan kemenangan 2-1 untuk menemani Portugal dengan tujuh mata dengan pemenang Piala Emas itu akan bertemu pasukan tempat kedua dari Kumpulan B dalam peringkat separuh akhir. – AFP