PARIS, 30 MAC – Portugal berjaya menundukkan Macedonia Utara 2-0 sementara Poland turut mencatatkan kemenangan dengan jumlah jaringan yang sama di pusingan final playoff kelmarin untuk menempah tempat di Piala Dunia Qatar 2022.
Bruno Fernandes menjaringkan kedua-dua gol buat Portugal untuk menewaskan lawan mereka yang sebelum ini secara mengejut menyingkirkan juara Eropah, Itali minggu lalu.
Cita-cita Macedonia Utara untuk membuat penampilan pertama di final Piala Dunia tidak kesampaian selepas ujian Portugal ternyata terlalu berat buat mereka di Porto.
Fernandes meletakkan Portugal di hadapan pada perlawanan yang berlangsung di Estadio do Dragoa selepas menerima hantaran bola daripada Cristiano Ronaldo pada separuh masa pertama dan kemudian melengkapkan kemenangan selepas menyudahkan hantaran lintang Diogo Jota.
Kemenangan tersebut bermakna Portugal melanjutkan kelayakan untuk semua edisi Piala Dunia sementara penyerang Manchester United, Ronaldo diambang membuat penampilan kelima pada usia 37 tahun.
Pencapaian terbaik Ronaldo sebelum ini ialah mara ke peringkat separuh akhir pada 2006, apabila Portugal ditewaskan oleh Jerman.
Jurulatih Portugal, Fernando Santos berkata, “Saya ingin mengucapkan tahniah kepada pemain atas sikap dan berjaya layak. Kami mengawal perlawanan dengan cara yang jelas.
“Kini, selepas memenangi Euro dan Liga Negara-Negara Eropah, kami mempunyai cita-cita untuk memberikan kegembiraan kepada Portugal.”
Sementara itu, Robert Lewandowski menyumbat gol melalui sepakan penalti buat pasukan tuan rumah ketika Poland menempah kedudukan di hadapan penyokong tuan rumah di Chorzow.
Selepas ketua pasukan Poland itu menyempurnakan sepakan penalti, Piotr Zielinski melengkapkan jaringan dengan gol kedua yang menarik buat tuan rumah.
Poland akan dimasukkan ke undian pada Jumaat bagi peringkat kumpulan final Piala Dunia, bermula 21 November hingga 18 Disember, selepas persembahan yang dominan pada separuh masa kedua. – AFP