Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Portugal, Sepanyol berdepan kebakaran hutan selepas musim panas

    LISBON, 7 SEPT – Ratusan anggota bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran hutan baharu di Portugal dan Sepanyol, selepas musim panas yang menyaksikan kebakaran meluas di rantau itu, menurut pihak berkuasa perlindungan awam kelmarin.
     
    Kebakaran paling besar berlaku di Seia, tengah Portugal, di mana seramai 600 anggota bomba telah dikerahkan untuk mengawal api yang ditiup angin kencang, dan beberapa jalan terpaksa ditutup, menurut agensi perlindungan awam.
     
    Keutamaan diberikan “untuk melindungi rumah penduduk”, kata seorang jurucakap perlindungan awam yang dipetik oleh agensi berita Lusa.
     
    Pihak polis turut mengumumkan penahanan seorang individu yang disyaki memulakan kebakaran itu.
     
    Di Sepanyol, pihak berkuasa menutup kampung kecil Castromil di barat laut negara itu semalam sebagai langkah berjaga-jaga berikutan kebakaran berdekatan.
     
    Kawasan itu terjejas teruk oleh gelombang kebakaran pada bulan Ogos dan sebuah kebakaran di tempat tersebut kembali marak kelmarin, akibat angin kencang, menurut seorang sumber dari kementerian alam sekitar Castilla dan Leon. 
     
    Namun, Sepanyol hari ini telah menamatkan keadaan darurat yang telah berkuat kuasa selama beberapa minggu akibat salah satu gelombang kebakaran terburuk yang melanda negara itu dalam beberapa tahun kebelakangan. Insiden kebakaran tersebut telah mengakibatkan empat orang terbunuh dan lebih daripada 300,000 hektar tanah terbakar.
     
    Manakala, kebakaran di Portugal memusnahkan kira-kira 254,000 hektar tanah, jumlah kerosakan terburuk sejak 2017, menurut data Institut Nasional Pemuliharaan Alam dan Hutan. Portugal turut mengalami musim panas paling panas sejak 1931 tahun ini, menurut agensi meteorologi nasional pada Jumaat. – AFP
     
    Kebakaran hutan yang berlaku di Rebordondo, Sepanyol pada 18 Ogos. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda