HONG KONG, 16 APRIL — Pejabat pos Hong Kong akan menghentikan penghantaran bungkusan kecil ke Amerika Syarikat (AS) selepas Washington mengumumkan rancangan untuk mengenakan tarif ke atas bungkusan kecil dari bandar raya selatan China itu, menurut kerajaan kelmarin.
Sebelum ini, AS umumkan bahawa ia akan menamatkan pengecualian kastam yang membenarkan bungkusan bernilai kecil dari Hong Kong memasuki AS tanpa cukai, mengenakan tarif 120% ke atasnya bermula dari 2 Mei.
Pengecualian ‘de minimis’ pada masa ini membenarkan penghantaran yang bernilai kurang daripada AS$800 menjadi bebas cukai.
Satu kenyataan kerajaan dikeluarkan kelmarin mengatakan bahawa Hongkong Post tidak akan mengutip tarif bagi pihak Washington dan akan tangguhkan penerimaan bungkusan bukan mel udara yang mengandungi barangan yang dituju ke AS, memandangkan barangan yang dihantar melalui laut mengambil lebih masa.
“Untuk menghantar barang ke AS, orang ramai di Hong Kong harus bersedia membayar yuran yang terlalu tinggi dan tidak munasabah kerana tindakan yang tidak munasabah dan membuli oleh AS,” tulis kerajaan.
Bagaimanapun, Ia akan terus menerima mel yang mengandungi hanya dokumen.
Hong Kong, terperangkap di tengah-tengah pertikaian perdagangan antara AS dan China walaupun menjadi pelabuhan bebas.
Bekas tanah jajahan British itu yang kembali ke pemerintahan China pada 1997, mempunyai dasar perdagangan dan kastam yang berbeza daripada tanah besar China.
Tetapi Washington mula menganggapnya sebagai sebahagian daripada China selepas Beijing mengenakan undang-undang keselamatan negara pada 2020, dan telah menggunakan tarif 145% yang dikenakan ke atas import China. – AP
