WASHINGTON, 21 OGOS – Sekeping poskad akhirnya sampai ke destinasi yang dituju di Wales, lewat 121 tahun selepas ia dicap pos, menurut United Press International (UPI).
Persatuan Bangunan Swansea berkongsi di media sosial bahawa poskad itu tiba di alamat Cradock Street di Swansea bersama surat lain pada Jumaat.
Poskad itu ditujukan kepada Lydia Davis, yang pekerja membuat spekulasi mungkin tinggal di alamat kediamannya ketika itu dan bukannya premis bank.
“Alamatnya betul, kami masih 11 (dan 12) Cradock Street, tetapi ia 121 tahun lewat daripada yang dijangkakan,” kata Henry Darby, pegawai pemasaran dan komunikasi bank itu, kepada Wales Online.
“Ia adalah satu kejutan dan misteri. Setem itu sendiri tertera wajah Raja Edward, iaitu baginda memerintah dari 1901 hingga 1910 dan awda boleh mengetahui terus daripada tulisan tangan dan cara ia bercakap, ‘Sayang, saya tidak boleh’, gaya penulisan zaman itu.”
Darby berkata kebanyakan poskad itu tidak boleh dibaca sekarang, yang bertarikh 3 Ogos 1903.
Jurucakap Royal Mail berkata cerita di sebalik kelewatan poskad itu tidak jelas.
“Kemungkinan poskad ini dimasukkan semula ke dalam sistem kami dan bukannya hilang dalam pos selama lebih satu abad. Apabila sesuatu item berada dalam sistem kami, kami berkewajipan untuk menghantarnya ke alamat yang betul,” katanya. – Bernama