SYDNEY, 22 MEI – Ange Postecoglou dipuji ketika pulang ke tanah air hari ini kerana ‘memberi inspirasi kepada jurulatih Australia generasi akan datang’ selepas memimpin Tottenham menjulang trofi pertama mereka dalam tempoh 17 tahun dengan memenangi Liga Europa.
Bola sepak Australia meraikan kejayaan Postecoglou, 59, selepas Spurs menewaskan Manchester United 1-0 dalam perlawanan akhir di Bilbao kelmarin.
Walaupun begitu, tugas Postecoglou bergantung pada keseimbangan selepas kempen Liga Perdana yang suram yang menyebabkan Tottenham merosot di carta bawah.
Badan pentadbir Bola Sepak Australia memberikan penghargaan kepada tiga warga Australia di tengah kejayaan Tottenham yang menjadi tonggak pasukan kejurulatihan Spurs termasuk bekas kapten Socceroos, Mile Jedinak dan warga Australia naturalisasi kelahiran Leeds, Nick Montgomery.
“Tahniah kerana terus merobohkan benteng dan menginspirasi generasi baharu jurulatih Australia,” kata kenyataan itu.
Kelab zaman remajanya, South Melbourne FC dikenali sebagai ‘Hellas’, turut memberi penghormatan dengan menyifatkan Postecoglou sebagai ‘legenda kami’.
“Perjalanan bola sepak Ange memang luar biasa dari pemain remaja Hellas, menjadi kapten dan jurulatih juara, kini menjadi pemenang Eropah,” kata kenyataan South Melbourne di media sosial.
Akhbar Greek-Australia Neos Kosmos, menyifatkan kejayaan itu sebagai sumber kebanggaan besar, manakala ahli politik tempatan Steve Dimopoulos menyifatkan kemenangan itu sebagai ‘pencapaian besar’. – AFP
