Oleh Syahmi Hassan
Dunia masakan atau kulinari di tanah air kini semakin diambil serius dan telah terbukti di mana baru-baru ini, seramai 12 cef tempatan telah diterbangkan ke negara jiran bagi mengikuti pertandingan masakan antarabangsa dan akhirnya kesemuanya membawa pulang pingat-pingat kemenangan mereka masing-masing ke tanah air.
Royal Brunei Catering (RBC) telah memberikan peluang kepada cef-cef berkenaan untuk mengikuti pertandingan masakan antarabangsa di Malaysia, Pertandingan Kulinari Malaysia 2019, dan peluang tersebut sememangnya tidak disia-siakan.
Cef berkenaan yang merupakan cef di restoran-restoran Royal Brunei Catering (RBC) bersama Ketua Pasukan mereka, Cef Mohd Shahril bin Abu Rahim, telah diterbangkan ke Kuala Lumpur Malaysia pada 24 hingga 27 September lalu bagi bertanding dengan seramai beribu-ribu cef-cef di seluruh dunia termasuk dari negara-negara Asia Tenggara, Eropah, Timur Tengah, Australia bagi memperlihatkan bakat-bakat mereka daripada segi kemahiran, teknik dan pembentangan.
Sebelum ini, sekitar 40 cef di RBC telah menghantar produk mereka untuk dinilai, ditandakan dan diperhatikan. Kemudiannya 11 cef terpilih diberikan taklimat tentang kesepakatan dalam pertandingan berkenaan.
Setelah dipilih, mereka juga diperlukan untuk mempunyai komitmen penuh dan menghadiri latihan selama enam bulan, di mana ada kalanya mereka pulang lewat malam hingga jam 2 pagi bagi mengasah bakat mereka masing-masing sebelum dihantar ke Malaysia mengikuti pertandingan tersebut.


Ternyata komitmen selama enam bulan dan pengorbanan yang dibuat telah menghasilkan kejayaan yang sangat mereka tidak jangkakan di mana pelbagai jenis pingat individu dan berkumpulan serta trofi telah diraih oleh cef-cef tempatan Brunei.
Kategori yang dimenangi
Pada cabaran individu, dalam Hidangan Utama Ikan / Makanan Laut (Kategori Barat), Andy Chong Kai Siong telah berjaya memenangi pingat emas, pingat perak dimenangi oleh Dayang Samliwati binti Haji Damit dan Awang Sofiandy bin Haji Mahadi meraih pingat gangsa.
Bagi Hidangan Utama Daging / Ayam (Poultry) – (masakan Barat), pingat gangsa berjaya dimenangi oleh Awang Mohammad Alaisa Fadhillah bin Rosli, Awang Muhammad Hasdi bin Rahman dan Awang Mohammad Faizal bin Mohamad.
Dalam Masakan Warisan Malaysia, Awang Mohammad Khairuddin bin Manap telah memenangi emas manakala Awang Abdul Aziim bin Halim memenangi pingat gangsa. Bagi Pameran Artistik (Artistic Showpiece), Awang Ahmad bin Mansor memenangi perak, manakala Dayang Irene binti Haji Ahmad memenangi gangsa.
Untuk cabaran pasukan, dalam Cabaran MLA Golden Bull Culinary Challenge, pasukan yang diwakili oleh Ketua Pasukan, Awang Mohd Shahril bin Abu Rahim, dan disertai oleh Awang Randy bin Jeffrey, Andy Chong Kai Siong dan Dayang Samliwati telah memenangi pingat perak dalam pusingan separuh akhir dan meraih trofi tempat kedua di pusingan akhir.
Bagi Cabaran Masakan Avant-Garde Malaysia, RBC diwakili oleh pemimpin pasukan Dayang Samliwati, dan disertai oleh Awang Ahmad bin Mansor, Awang Randy dan Awang Mohammad Faizal telah memenangi pingat gangsa.
Cef Mohd Shahril selaku ketua pasukan menjelaskan bahawa lebih separuh daripada cef yang menyertai pertandingan tersebut menyertainya buat kali pertama. Sebahagian daripada mereka gugup dan tidak menjangkakan untuk mencapai kejayaan sedemikian.
Menurutnya, ia adalah satu pengalaman yang hebat dan sukar bagi mereka semua, namun beliau percaya tiada apa yang mustahil. Beliau menekankan bahawa latihan yang mereka lalui sebelum ini sangatlah sukar, dan mereka menghadapi banyak cabaran mental dan fizikal yang mencabar.
Cef-cef yang terlibat tersebut, bagi beliau, benar-benar bertekad untuk menjadi sebahagian daripada pengalaman yang mencabar itu, dan menurutnya pencapaian tersebut merupakan tanda aras mereka untuk memanjat tangga dan setanding dengan para cef yang terkenal di Brunei.
Beliau berkongsi bahawa pemilihan cef-cef yang dibawa pada tahun ini tidak dilihat daripada latar belakang mereka dan pencapaian yang diperolehi sebelum ini, di mana ada beberapa cef yang menyertai pusingan awal pemilihan, adalah mereka yang sebelum ini telah dipilih untuk pertandingan Culinaire Malaysia, namun nasib tidak menyebelahi mereka, sebaliknya separuh daripada mereka yang tidak mempunyai pengalaman dalam mengikuti pertandingan (pertama kali) telah dipilih bagi mewakili pasukan.
“Pada masa yang sama, saya juga berkongsi dengan mereka pengalaman saya, proses dan apa jua halangan serta cabaran yang saya hadapi semasa saya menyertai pertandingan,” kongsinya. “Saya memerlukan mereka untuk komited dan berdedikasi sepenuhnya. Sekiranya ada orang yang tidak dapat melakukan, mereka akan menyeret orang lain.
Cef Ahmad Mansor, salah seorang peserta cef yang ikut bertanding di Artistic Showpiece turut berkongsi pengalamannya, di mana beliau, semasa pertandingan tersebut berlangsung, cuba melihat mercu tanda atau arca Brunei yang boleh dibuat menjadi benda seni, dan beliau kemudiannya memutuskan untuk memilih teh pot yang terletak di salah satu bulatan di Kuala Belait sebagai seninya.
“Selama enam bulan saya cuba untuk menentukan karya ini, tetapi menjelang hari penerbangan ke sana, saya menghadapi isu-isu logistik bagaimana ia dapat memasuki kapal terbang,” kongsinya.
Beliau menyatakan bahawa ia perlu dimasukkan ke dalam kargo semasa perjalanan mereka ke Kuala Lumpur. Malangnya, kedua-dua ciptaan gula beliau dan Irene telah pecah.
Namun Cef Ahmad Mansor percaya ia adalah ujian daripada Allah SWT dan beliau bernasib baik kerana persaingan bagi kategori mereka adalah pada hari terakhir di mana mereka mempunyai satu minggu untuk memperbaiki karya tersebut.
“Kami membeli semua barangan yang diperlukan dan mencipta kembali kepingan gula. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan kami berdua berjaya mendapatkan pingat perak dan gangsa,” kongsinya.